Isnin, 10 Disember 2012

'Prestasi Harimau Malaya terbaik setakat ini'

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Harimau Malaya
Pemain kedua-dua pasukan Malaysia dan Thailand mencari peluang pada aksi separuh masa kedua. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
 
JURULATIH skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh anak buahnya ketika perlawanan menentang Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Gembira melihat prestasi pemain yang semakin meningkat, Rajagobal turut menyifatkan saingan malam tadi merupakan perlawanan terbaik yang dilihatnya berbanding sebelum ini.

"Perlawanan malam ini (tadi) merupakan yang terbaik dipamerkan pemain. Saya sangat berbangga kerana mereka menunjukkan semangat yang tinggi.

"Jadi, secara keseluruhannya, saingan malam ini (tadi) sangat fantastik dan patut diberi pujian," kata Rajagobal kepada pemberita selepas berakhirnya perlawanan menentang Thailand.

Tambah Rajagobal: "Meskipun ramai pemain yang tercedera, namun mereka melakukan yang terbaik demi meraih kemenangan."

"Apa-apa pun, saya terima keputusan ini kerana kita juga tahu bukan senang mengatasi Thailand kerana meeka merupakan pasukan yang kuat," katanya yang turut mengakui pemain ada mengalami sedikit tekanan.

Dalam aksi semalam, skuad kebangsaan gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-48 manakala Thailand menerusi Teerasil pada minit ke-79.

Mengulas mengenai perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Bangkok Khamis ini, Rajagobal dengan tenang berkata, beliau akan kembali mengatur  strategi bagi menghadapi saingan itu.

"Untuk perlawanan seterusnya, kita akan mengatur strategi baru, melihat kembali kelemahan apa yang harus diperbaiki oleh pemain.

"Kami janji akan melakukan yang terbaik untuk perlawanan yang diibaratkan hidup dan mati itu," ujar Rajagobal yang akan merujuk kembali kepada pakar fisioterapi mengenai pemain-pemain yang tercedera.

"Siapa yang akan diturunkan nanti hanya boleh diketahui selepas pemain menjalani pemeriksaan doktor.
"Buat masa ini, saya menyerahkan semua kepada pihak pakar untuk menilai, jadi barisan pemain akan diumumkan nanti," jelas beliau.

Tiada ulasan: