Sabtu, 15 Disember 2012

Pas Pusat: Calon Larut belum rasmi

Wartawan Sinar Harian

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 
SHAH ALAM – Pas mengarahkan semua pemimpin yang dinamakan sebagai bakal calon kerusi Parlimen Larut termasuk bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari turun padang bagi mempersiapkan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan itu dikeluarkan memandangkan calon rasmi belum diputuskan lagi.

“Dua tiga nama diberikan cuma diangkat kepada pusat. Belum ada calon. Calon rasmi hanya akan diketahui apabila watikah dikeluarkan, sebaik Parlimen dibubarkan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Katanya, Pas Pusat juga telah menghubungi kepimpinan negeri dan kawasan terbabit baru-baru ini.

“Isu ini sudah selesai. Semua calon yang disenaraikan, sudah diminta turun dan bekerja, tak timbul soal calon rasmi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pas Perak menafikan dakwaan yang mengatakan berlaku pergolakan di kalangan akar umbi Pas Larut yang didakwa menolak calon dari Pusat dan bakal memboikot Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekiranya calon pilihan mereka tidak dilantik.

Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pihaknya telah membuat pemantauan hingga ke akar umbi.

“Ini semua salah faham dan mereka mengakui tidak ada masalah yang timbul. Bagi saya, isu ini sudah selesai dan pihak akar umbi telah mengakui mereka menerima sebarang calon yang dicadangkan Pas Pusat dengan berlapang dada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Isnin lalu, Setiausaha Jentera Pilihan Raya Pas Dun Selama, Mohd Ridzuan Abdul Malek menafikan dakwaan, terdapat lebih 1,500 ahli Pas dari enam cawangan utama dari Dun Selama membantah keputusan Pas Pusat menggugurkan Yang Dipertua Pas Kawasan Larut, Dr Mohd Dhari Othman sebagai calon.

Sebaliknya Pas Pusat meletakkan Fauzi yang baru empat bulan menyertai Pas sebagai calon bertanding Parlimen Larut pada PRU13, menyebabkan ahli mula bertelagah.

Jelas Nizar, Fauzi adalah seorang tokoh yang dihormati dan tidak ada masalah untuk penyokong Pas menerima beliau.

“Apa yang penting, akar umbi faham pemilihan calon dari pihak Pas Pusat sudah merangkumi semua aspek dan sudah menjadi tradisi pihak akar umbi terima siapa sahaja calon Pusat.,” katanya lagi.

Tiada ulasan: