Ahad, 23 Disember 2012

PAS keluar arahan hadiri Himpunan Oren Ke-2

 
Tujuan utama himpunan adalah untuk menyatakan secara aman empat tuntutan NGO Gabungan Selamatkan Felda (GSF) kepada kerajaan mengenai pengurusan Felda yang semakin korup



KUALA LUMPUR: PAS mengeluarkan arahan mengerah supaya semua ahlinya turun berdemonstrasi Himpunan Oren 2.0 Selamatkan Felda di hadapan Ibu Pejabat Felda di Jalan Semarak 28 Disember depan.

Surat pekelilng yang ditandatangani Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali itu dikeluarkan selepas mendapat persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat awal bulan Disember.

Tujuan utama himpunan adalah untuk menyatakan secara aman empat tuntutan NGO Gabungan Selamatkan Felda (GSF) kepada kerajaan mengenai pengurusan Felda yang semakin korup.

Empat tuntutan himpunan itu  mendesak Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dipecat, menggesa supaya urusniaga antara Felda dan Isreal dihentikan, mengembalikan tanah Felda Plantation yang dipajak selama 99 tahun kepada Felda Global Ventures (FGV) dikembalkan semula kepada rakyat,

Selain itu, memorandum yang akan diserahkan kepada Isa itu nanti juga mendesak supaya campur tangan politik dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan Felda segera dihentikan.

“Peserta digalakkan memakai pakaian berwarna oren sebagai tanda kebersamaan kita dalam isu Felda,” surat tersebut dipetik.

Sementara itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata himpunan akan bermula selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak dan akan berarak menuju ke Ibu Pejabat Felda.

“Kita juga meminta jasa baik PKR supaya kerahan sama turut dikeluarkan oleh Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya boleh sama-sama turut serta dengan kami pada 28 Disember nanti,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini petang tadi.

Tidak berganjak

Mazlan menegaskan, pihaknya tidak akan berganjak dan merancang mendirikan khemah di hadapan bangunan Felda sehingga berjaya mendesak Isa Samad melepaskan jawatannya.

“Selagi Isa Samad tak mahu berundur kita akan berkhemah dan longgokkan kelapa sawit depan pejabat Felda sebagai tanda protes sehingga 12 Januari tahun depan,” katanya.

Beliau merujuk 12 Januari 2013 sebagai tarikh himpunan Hari Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan di Stadium Merdeka di sini apabila GSF menjadi salah satu NGO yang akan turut serta dengan mensasarkan sekurang-kurangya 20,000 penyokong berpakaian oren menyertainya.

Sementara itu, mengulas mengenai Mahkamah Tinggi Temerloh semalam yang membatalkan saman fitnah yang difailkan lapan peneroka Felda terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ucapan ‘haram jadah’ semasa mengumumkan ‘durian runtuh’ untuk peneroka di Felda Jengka 8 Mei lalu, Mazlan berkata pihaknya akan membuat rayuan kes dalam tempoh 14 hari.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu.

Peguam yang mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu pemberita bahawa selepas membaca keseluruhan ucapan Perdana Menteri, hakim itu berpendapat ucapan itu tidak berbentuk fitnah, sebaliknya hanya dilihat sebagai satu bentuk kiasan yang tidak merujuk kepada mana-mana pihak.

“Kalau dianggap ia boleh diungkapkan selepas ni perkataan ‘haram jadah’ akan jadi satu benda yang halal disebut oleh sesiapa pun,” ulas Mazlan kesal.

Tiada ulasan: