Isnin, 3 Disember 2012

Pakatan cabar PM panggil PRU13 sekarang jika yakin
NORSHAHZURA MAT ZUKI
3 Disember 2012
Tuan Ibrahim Tun Man
Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tun Man 
 
SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubar Parlimen sekarang jika beliau yakin Barisan Nasional (BN) boleh menang kerusi Parlimen dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

PR menyifatkan keyakinan Najib dan ahlinya untuk memenangi pilihan raya nanti tidak akan menggugat kesungguhan dan harapan PR memenangi PRU13.

Ketua Penerangan Pas Pusat,  Datuk Tuan Ibrahim Tun Man berkata, ucapan Najib berbeza dengan tindakannya.

“Kalau betul- betul yakin, bubar Parlimen. Kami menanti pembubaran Parlimen.

“PRU13 adalah ibu segala pilihan raya dan jika yakin mereka boleh menang, tidak perlu serang pembangkang dalam Perhimpunan Agung Umno 2012. Tindakan mereka dalam perhimpunan itu menunjukkan Umno takut kebangkitan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, jika diteliti, apa yang berlaku sebenarnya ialah keyakinan Umno berbeza dengan apa diyakini Najib.

“Kenyataan Najib cuba yakinkan perwakilan, tetapi yang berlaku ahli melakukan sabotaj dan ada pemimpin parti tidak dijadikan calon merajuk,” katanya.

Beliau juga mencabar ahli agama dan mufti untuk menasihati Perdana Menteri yang dilihat memberikan ucapan mencabuli batas-batas agama ketika sesi ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno.

“Najib menyatakan undian diberikan kepada parti pembangkang membawa kehancuran agama dan bangsa serta merosakkan akidah,” katanya.

Sebelum ini, Najib dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 kelmarin melahirkan keyakinan akan memperolah majoriti dua pertiga jika tiada sabotaj dalam parti.

Najib berkata, pembangkang hari ini tidak kuat dan yakin rakyat memilih BN pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke berkata, kenyataan Najib dilihat terlalu yakin untuk menang PRU13, tetapi yang menentukan kemenangan adalah rakyat.

“Rakyat akan tentukan keputusan siapa meneruskan pentadbiran negara.

“Harapan BN untuk memenangi PRU13 tidak semudah kata- kata diucapkan Najib. Saya yakin rakyat akan buat keputusan bijak pilih kerajaan mereka nanti,” katanya.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty pula berkata, kenyataan Najib itu bertujuan membakar semangat ahli parti untuk hadapi PRU13.

“Keyakinan Najib itu dilihat untuk memperolehi kepercayaan dan mewujudkan daya saing di kalangan ahli," katanya.

Bagaimanapun katanya, daripada kajian dan pandangan penyelidik, di antara BN dan PR, ahli akademik lebih yakin PR akan menang majoriti dua pertiga.

“Keyakinan ini berdasarkan fakta- fakta dan  bukti- bukti laporan kajian akademik yang dilakukan dari semasa ke semasa.

“Ini menunjukkan trend terkini, rakyat termasuk yang tinggal di Sabah dan Sarawak memilih pembangkang,” katanya.

Tiada ulasan: