Jumaat, 7 Disember 2012

Kerajaan negeri Selangor tetap tutup AES, sedia ke mahkamah


SHAH ALAM — Kerajaan negeri Selangor tetap dengan keputusan menutup operasi kamera penguatkuasaan automatik (AES) di negeri tersebut walaupun Jabatan Pengangkutan Jalan memberikan amaran hari ini akan membawa kes tersebut ke mahkamah. 
 
Ahli mesyuarat negeri (Exco), Ronnie Liu yang ditemui selepas satu program di Universiti Selangor pagi tadi juga berkata kerajaan negeri bukan sahaja akan menutup kamera kontroversi tersebut malah akan mencabutnya.

"Tutup dulu... saya mahu cabut tapi Tan sri (Abdul Khalid Ibrhaim) nak tutup.

"Nak lihat siapa berani buka. Kita nak uji," kata Ronnie.

Exco jawatankuasa kerajaan tempatan tersebut juga mendakwa sehingga kini JPJ masih belum menghantar sebarang permohonan operasi kamera AES itu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) walaupun sudah diberi notis amaran.

"Dlm kes ini pemasangan AES ini ia memerlukan Kebenaran Merancang (KM).

"Tanpa kelulusan tidak boleh mendirikan apa-apa... sehingga hari ni tiada permohonan," tambah beliau.

Menurut Ronnie, notis pertama telah dikeluarkan pada 19 November yang telah pun berakhir selepas 14 hari manakala pada hari ini satu lagi notis telah dikeluarkan.

Beliau turut menuduh kamera kontroversi itu hanya untuk tujuan keuntungan dan bukannya untuk keselamatan pemandu jalan raya.

"Ia semata-mata cari keuntungan besar, 14 kamera.. RM23 juta."

Dalam laporan di Sinar Harian hari ini, ketua pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata sekiranya kerajaan negeri Selangor merasakan bahawa AES yang dipasang tidak mematuhi peraturan PBT, pihak berkenaan boleh membawa isu berkenaan ke mahkamah.

"Kita (JPJ) orang yang menguatkuasakan undang-undang... mengapa kami hendak langgar undang-undang? Kalau ada yang tidak kena, kami akan ikut.

"Tetapi jangan mengatakan, hendak mengancam, hendak cabut... ini untuk kebaikan pengguna, mengapa hendak mengancam.... apa motif (mereka) sekarang," kata beliau kepada Sinar Harian.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dua hari lalu mengumumkan penutupan dua kamera AES di Kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan berhampiran jalan Bangi ke Cyberjaya esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan melakukan dua peringkat sebelum menanggalkan kamera tersebut iaitu menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan di samping menutup kamera itu agar tidak berfungsi.

"Peringkat pertama tulis surat sudah lepas, peringkat kedua kita sarungkan kamera supaya tidak berfungsi, kemudian kita tulis lagi surat.

"Jika dalam dua minggu, tiada sebarang respons atau permohonan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan barulah kita membuat keputusan menanggalkan tiang tersebut supaya tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Tiada ulasan: