Rabu, 19 Disember 2012

Kase dakwa JPJ tangguh notis saman AES

JAMILAH HAMZAH

AES
Sistem AES
 
KUALA LUMPUR - Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mendakwa kerajaan hari ini telah menarik balik notis saman kesalahan yang dilakukan di bawah penguatkuasaan kamera Sistem Pelaksanaan Automatik (AES) tanpa sebarang penjelasan.

Kase meskipun menyambut baik langkah itu tetapi mendakwa seolah-olah terdapat sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah kerajaan itu disambut baik oleh pihaknya namun kerajaan perlu membuat pengumuman secara rasmi kepada rakyat mengenai perkara itu.

"Di mahkamh hari ini pihak pendakwa tarik balik semua saman, ini mengejutkan semua pihak.

"Kita memang alukan tindakan itu, tapi kerajaan perlu umum secara rasmi.

"Tanpa penjelasan yang diberikan apabila surat saman diserahkan di mahkamah, ini menimbulkan keraguaan seperti ada sesuatu yang disembunyikan," katanya kepada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa 256, 899 saman AES dikeluarkan.

Difahamkan juga saman yang telah dikeluarkan oleh pihak pendakwa raya telah diserahkan kembali di beberapa mahkamah termasuk Mahkamah Tinggi Putrajaya, dan Mahkamah Tinggi Duta pada hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerajaan perlu mengumumkan penarikan balik saman serta membatalkan semua saman AES yang telah dikeluarkan.

"Saman yang telah dijelaskan selepas masuk mahkamah mesti dipulangkan semula.

"Saman yang dikeluarkan mesti dibatalkan dan membuat penarikan semula," katanya.

Tiada ulasan: