Rabu, 19 Disember 2012

Beta Tegap boleh cabar arahan turun kamera AES



 
Syarikat konsesi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Beta Tegap Sdn Bhd telah mendapat kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap arahan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk menurunkan dua kamera had laju.

NONEPeguam Beta Tegap, Fiona Bodipalar (kiri dalam foto) berkata Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman itu didengar pada 14 Februari.

Dalam surat bertarikh 6 Disember, MPS telah mengarahkan syarikat itu menurunkan dua kamera had laju di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan dalam tempoh 14 hari.

Bagaimanapun, berdasarkan nasihat guaman, arahan itu kemudiannya dipinda kepada 'menutup' peralatan tersebut dalam tempoh 24 jam.

Fiona berkata Hakim Datuk Zaleha Yusof yang mendengarnya dalam kamar,  turut mengeluarkan perintah supaya MPS "tidak akan mengambil tindakan untuk menurun atau menutup" kamera berkenaan sehingga kes itu selesai.

"MPS telah bersetuju dengan perintah itu," katanya hari ini.

Dalam permohonannya, Beta Tegap turut memohon pengisytiharan bahawa MPS tidak mempunyai bidangkuasa ke atas kedua-dua lebuh raya.

Tiada ulasan: