Selasa, 4 Disember 2012

Banyak Kecacatan Dalam Perlaksanaan 'AES'

Wartawan Buletin

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/AES_Grafik_1.jpgKUALA TERENGGANU - Perlaksanaan Automated Enforcement System (AES) yang kini digunapakai oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia disifatkan banyak ‘kecacatannya’.

Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing berkata sistem AES itu sepatutnya digunakan bagi mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah dalam pemanduan kenderaan.

Namun, katanya orang ramai masih keliru dengan sistem AES itu kerana tanpa pengetahuan mereka dikenakan saman.

Menurutnya, kadang-kala pengguna jalan raya tidak mengetahui di mana AES dipasang serta had laju yang dikehendaki.

“Kita (rakyat) difahamkan sistem AES mula beroperasi secara rasmi pada 23 September 2012. Tujuan perlaksanaanya adalah untuk merakam kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya terutamanya melebihi had laju, 24 jam sehari.

“Pihak berkuasa (JPJ) patut guna sistem AES untuk tujuan mendidik rakyat berhemah di jalan raya dan bukan untuk mengaut keuntungan dari saman.

“Rakyat (pengguna) tidak faham dan papan tanda yang banyak perlu dipasang sebelum tiba di lokasi pemasangan sistem AES itu sebagai peringatan,” ujarnya.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran Gopal Krisnan berkata penggunaan sistem AES banyak ‘kecacatan’.

Katanya, penggunaan AES lebih bersifat untuk sumber pendapatan negara serta kroni-kroni terbabit dalam membangunkan sistem berkenaan.

“Rakyat umum melihat tidak wajar kerajaan melaksanakan system AES dalam suasana kekangan ekonomi yang tidak stabil.

“Ini (AES) lebih kepada untuk sumber pendapatan Negara yang semakin kronik dan terbeban dengan rasuah oleh pemimpin kerajaan (BN). Ia (AES) juga untuk kroni-kroni cari untung,” jelasnya kepada Harakah.

Menurut Dr Bala, rakyat umum sedang melihat dan pasti akan menghukum mana-mana kerajaan yang bersifat penindasan dalam pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: