Jumaat, 7 Disember 2012

Ambiga: Polis gunakan kekerasan yang tidak perlu untuk leraikan peserta

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreneevasan berkata, pihak polis menggunakan kekerasan yang tidak perlu untuk meleraikan peserta perhimpunan pada 28 April lalu.

Menurut beliau (gambar), lebih 900 kanister gas pemedih mata dilepaskan kepada peserta perhimpunan pada hari tersebut.

“Saya berada di Jalan Tun Perak pada ketika polis melepaskan gas pemedih mata, mengakibatkan kesesakan dan ramai dari peserta terperangkap.

“Penggunaan kekerasan ini tidak perlu memandangkan peserta mahu bersurai,” kata Ambiga semasa memberi keterangan di dalam inkuiri mengenai keganasan yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0.

Ambiga berkata, keganasan itu tidak termasuk dengan agen provokasi (agent provocateur) yang diletakkan polis dalam kumpulan peserta, mengakibatkan kejadian huru-hara dalam kumpulan tersebut.

“Saya tidak sekali-kali tidak lupa bahawa ada agen provokasi pada hari tersebut, berbanding semasa Himpunan Hijau, tiada agen provokasi, perhimpunan diadakan dalam keadaan aman,” kata Ambiga lagi.

Ambiga juga berkata, polis tidak ikhlas dalam tugas menyuraikan peserta, apabila Rapid KL menutup perkhidmatannya dan polis melepaskan tembakan meriam air dan 900 kanister gas pemedih mata. 
 
"Jika kamu (polis) benar-benar mahu menyuraikan orang ramai, kenapa menutup perkhidmatan LRT (Transit Aliran Ringan), kenapa lepaskan tembakan meriam air, kenapa lepaskan 900 kanister pemedih mata?

"Rapid KL telah menutup laluan LRT, bagaimana nak menyuraikan peserta selepas perhimpunan, sedangkan mereka datang dengan laluan tersebut," kata Ambiga lagi.

Menurut Ambiga, beliau memberi arahan kepada peserta, selaku pengerusi bersama Bersih, untuk bersurai, memandangkan tujuan asal berhimpun telah dicapai.

"Saya suruh mereka untuk bersurai," kata Ambiga lagi.

Ambiga juga berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis sekiranya ada peserta yang melakukan kesalahan.

"Cuma kami minta polis perlu melaksanakan tugasnya menjaga keamanan, bukannya melakukan keganasan seperti melepaskan 900 kanister gas," katanya lagi.

Panel inkuiri diketuai Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu dengan ahli suruhanjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid and Detta Same, untuk menyiasat punca keganasan yang berlaku pada 28 April lalu.

Tiada ulasan: