Khamis, 29 November 2012

Wartawan ‘teraniaya’ akan terus lawan

KL TODAY

 

SUBANG JAYA: Mahkamah Buruh telah mengenepikan tuntutan oleh seorang wartawan terhadap keengganan bekas majikan beliau untuk memberinya faedah perbelanjaan perubatan dan cuti ehsan di bawah Perjanjian Bersama Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dengan Star Publications (M) Berhad.

Keputusan itu dibuat oleh pengerusi Mahkamah Buruh Subang Jaya Nur Hazwani Othman selepas mendengar hujah-hujah dari bekas wartawan akhbar The Star Shahrim Tamrin dan bekas majikannya pada Julai 12.

Dalam menyampaikan keputusan itu mengikut Perintah di bawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955, pengerusi Mahkamah Buruh memutuskan bahawa pengadu tidak mempunyai sebab untuk menerima faedah dan membuat tuntutan kerana beliau masih lagi dalam tempoh percubaan ketika berkhidmat di Jabatan Berita akhbar The Star.

“Selepas mengambil kira bahawa pengadu belum disahkan dalam jawatan dan amalan syarikat yang tidak memperuntukkan kemudahan dan faedah kepada kakitangan dalam percubaan, mahkamah telah memutuskan untuk menolak tuntutan oleh pengadu,” kata Nur Hazwani.

Semasa perbicaraan mahkamah pada 12 Julai, pengadu telah berhujah bahawa kakitangan dalam percubaan sepatutnya menikmati hak-hak yang sama seperti pekerja yang disahkan dalam jawatan sebagaimana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 1997.

Di dalam kes Khalilah Abbas melawan Pesaka Capital Corporation Sdn Bhd, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa seorang pekerja dalam percubaan berhak menikmati hak-hak yang sama seperti pekerja tetap atau yang telah disahkan.

The Star telah memberhentikan pengadu pada Oktober 19 tahun lepas ketika pengadu sedang cuti sakit yang panjang selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Okt 4 hingga Okt 7, 2011.

Shahrim Tamrin menegaskan bahawa akhbar The Star telah enggan untuk mematuhi Perjanjian Bersama yang ditandatangani dengan NUJ yang secara khusus menyatakan bahawa wartawan berhak untuk mendapatkan kemudahan perubatan di hospital dan cuti ehsan mengikut garis panduan yang disediakan.

“The Star telah enggan untuk memberikan saya sekurang-kurangnya sembilan hari cuti ehsan di bawah Fasal 25 Perjanjian Bersama dengan NUJ apabila saya tidak dapat hadir berkerja kerana anak saya sakit dan dimasukkan ke hospital. Sebaliknya, syarikat telah memotong gaji saya sebagai cuti tanpa gaji. Ia adalah membingungkan sejak Perjanjian Bersama tidak pernah menyatakan bahawa kakitangan dalam tempoh percubaan tidak layak mendapat faedah, ” hujah bapa kepada dua orang anak yang kecil itu.

Shahrim menyatakan bahawa akhbar The Star juga telah enggan untuk menerima tuntutan perubatan sebanyak RM107 apabila pengadu turut dimasukkan ke wad HKL kerana demam virus atau disyaki denggi.

“Syarikat telah menolak permintaan saya untuk tuntutan perubatan walaupun saya telah dimasukkan ke hospital kerajaan dan HKL adalah juga merupakan sebahagian hospital panel syarikat,” tambah beliau.

Akhbar The Star yang diwakili oleh eksekutif Sumber Manusia Mahendraraj Mariappan menyatakan walaupun Perjanjian Bersama menggariskan faedah-faedah yang dituntut pengadu, Shahrim tidak layak untuk menerima manfaat kerana statusnya sebagai kakitangan dalam percubaan.

“Ia telah menjadi amalan syarikat untuk sekian lama untuk tidak memberikan faedah-faedah di bawah Perjanjian Bersama untuk kakitangan yang belum disahkan,” kata Mahendraraj.

Tiada ulasan: