Khamis, 29 November 2012

Tuduhan Deepak: Projek mega cah keting dalam Umno

Abdul Aziz Mustafa,


KUALA LUMPUR: Pendedahan demi pendedahan Deepak Jaikishan menandakan bermulanya "projek mega cah keting berprofil tinggi dalam Umno," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, pendedahan-pendedahan ahli perniagaan itu juga menyebabkan apa sahaja yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibalas dengan satu tempelakan sahaja iaitu "jawab Deepak dahulu"

"Najib boleh bertempik bermegah dengan beribu retorik sekalipun, tetapi apa sahaja yang beliau kata terutama sepanjang Perhimpunan Agung Umno kini akan dibalas dengan satu tempelakan sahaja sahaja iaitu 'jawab tuduhan-tuduhan Deepak dahulu'.

"Walaupun Najib buat-buat tak tahu tetapi dia tahu dan semua orang tahu bahawa apa sahaja yang dia cakap tidak ada gunanya lagi kerana orang hanya mahu dengar penjelasan beliau mengenai tuduhan-tuduhan Deepak sahaja," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Deepak juga akan melakukan u-turn seperti yang berlaku dalam Akuan Bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam dahulu, Mohamad berkata kemungkinan itu tidak boleh ditolak kerana Najib mungkin akan menggunakan segalanya kuasanya sebagai Perdana Menteri dalam keadaan terdesak ini.

"(Isteri Najib, Datin Seri) Rosmah (Mansor) juga tak mungkin duduk sahaja dan berdiam diri dalam keadaan sekarang.

"Semua orang tahu dialah yang paling berkuasa sehingga didakwa di sana-sini bahawa (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) pun takut kepadanya.

"Dengan kuasanya yang katanya begitu hebat itu, tentu Rosmah akan buat sesuatu," kata Mohamad (gambar).

Tetapi, kata Mohamad, sama seperti kes Balasubramaniam dahulu di mana orang hanya percaya kepada SDnya yang pertama sahaja.

Mengulas lanjut mengenai apa yang disifatkannya sebagai "projek mega cah keting berprofil tinggi dalam Umno," beliau berkata, semua mata kini memandang ke arah Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Setakat itu sahaja saya diberitahu, semua mata memandang ke arah Dr Mahathir dan Muhyiddin bila Deepak membuat pendedahan demi pendedahan yang menyusahkan Najib," kata Mohamad.

Antara lain, Deepak mendedahkan bahawa SD kedua yang dibuat secara tergesa-gesa oleh Balasubramaniam, untuk menarik balik tuduhan awalnya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaariibuu, adalah sebahagian daripada usaha untuk menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Tiada ulasan: