Ahad, 25 November 2012

Tubuh suruhanjaya siasat skandal tanah Umno BN

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon menggesa kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan segera untuk membuat semakan yang terperinci ke atas semua harta benda yang dimiliki oleh parti Umno BN.

Ini ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Adun Kuang dan Kuala Kubu Bharu bahawa tiada salahnya beli tanah dengan murah serta Umno itu adalah rakyat.

“Kedua-dua wakil rakyat dari Umno BN Selangor bukan sekadar tidak dapat membezakan konsep kerajaan dan parti, malah tanpa berasa salah langsung dengan menyalurkan harta kerajaan kepada harta parti atau peribadi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenyataan mereka menghalalkan pemberian hak millik tanah kepada parti politik sendiri dengan tanah Umno BN diguna untuk rakyat adalah alasan tempang.

Kata beliau AMK percaya skandal 24 keping tanah yang dijual dengan murah cuma merupakan hujung iceberg (tip of iceberg) daripada rasuah dan salahguna kuasa Umno BN yang memerintah Malaysia lebih setengah abad.

“Memandangkan Umno BN yang begitu lantang dan langsung tidak berasa salah, maka tidak mustahil cara sedemikian juga diamalkan oleh negeri-negeri lain yang lama diperintah oleh Umno BN,” ujarnya lagi.

Tambahnya, skandal tanah seperti di Selangor tidak dibongkar di negeri-negeri lain kerana kebanyakan negeri yang masih belum berlakunya pertukaran kerajaan.

Justeru, ujarnya AMK berpendapat untuk mengelakkan gejala menyalurkan harta kerajaan kepada harta parti pemerintah daripada berleluasa, maka perlunya ada Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dan membuat semakan ke atas sumber serta legitimasi harta parti politik Umno BN.

Ssebelum ini, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendedahkan 23 lot tanah di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno BN dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM300 juta.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana tanah berkeluasan 33.5 ekar itu hanya dikenakan bayaran premium serendah RM1 untuk satu kaki persegi.

“Ramai rakyat mempersoalkan bagaimana pengurusan tanah 24 lot tanah yang komersial itu boleh diluluskan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan? Setelah diteliti, harga kesemua tanah itu tidak kurang daripada RM300 juta.

“Bagaimana premium itu boleh dikurangkan sehingga harga begini? Siapa yang duduk dalam jawatankuasa tanah pada ketika itu? Inilah perangai Umno BN yang kononnya ingin membela hak rakyat, sentiasa memalukan dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Tiada ulasan: