Khamis, 8 November 2012

Tayangan filem Tanda Putera di UiTM esok dibatalkan

 
Bernama


 
Tayangan promosi filem 'Tanda Putera' arahan Datin Paduka Suhaimi Baba malam esok di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam dibatalkan dan diganti dengan Malam Diskusi Seni Filem 'Tanda Putera'.

Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM yang menganjurkan tayangan itu sempena Malam Promosi Filem 2012 dalam kenyataan hari ini, berkata tayangan filem itu dibatalkan bagi menghormati keputusan pihak-pihak tertentu.

Filem itu mengisahkan peranan bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Malam Diskusi Seni Filem Tanda Putera ini adalah program ilmiah berbentuk wacana yang akan membincangkan tentang pembikinan filem 'Tanda Putera' bersama dengan Suhaimi serta pelakon-pelakon lain, katanya.

Penyertaan program malam diskusi itu pada pukul 8.30 malam esok adalah percuma.

Penganjur juga berkata mereka yang telah membeli tiket bagi tayangan filem itu boleh menebus kembali wang di kaunter yang akan dibuka di Dewan Sri Budiman, UiTM esok dari pukul 6.30 petang hingga 8 malam.

"Pihak fakulti memohon maaf atas kesulitan berikutan pembatalan tayangan filem itu," menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh rujuk di laman Facebook menerusi carian Malam Diskusi Seni Filem Tanda Putera atau menghubungi koordinator pemasaran Noorli Mokhtar di talian 019-3674843 atau Zaaba di 017-7776946.-Bernama

Tiada ulasan: