Khamis, 29 November 2012

'Tanda Putera belum ditayang atas kebijaksanaan PM'



 
Timbalan menteri penerangan Datuk Joseph Salang Gandum berkata filem kontroversi Tanda Putera masih belum ditayangkan "kebijaksanaan perdana menteri dan menteri kabinet".

Salang berkata, filem itu bagaimanapun mungkin telah diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang berpendapat filem tersebut tiada unsur perkauman.

"Sekiranya ada (unsur perkauman), oleh kerana kebijaksanaan perdana menteri dan ahli-ahli kabinet maka Tanda Putera belum ditayangkan," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Kassim (PKR-Kedah) yang meminta beliau menjelaskan peranan LPF dalam menapis babak perkauman selama 10 minit yang didakwa wujud dalam filem itu.

Joseph bagaimana pun tidak dapat mengesahkan dakwaan Ahmad itu.

"Saya tak boleh kata ada unsur perkauman dalam Tanda Putera kerana saya pun belum menonton tayangannya," kata beliau.

Anggota lembaga LPF yang meluluskan filem berkenaan pula hanyalah "manusia biasa", katanya sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2012 di Dewan Rakyat petang tadi.

Filem Tanda Putera mengisahkan persahabatan bekas perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Huseein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman diterbitkan Pesona Pictures dan mendapat pembiayaan Perbadana Filem Nasional Malaysia.

Filem itu yang diselubungi kontroversi kerana turut memaparkan tragedi 13 Mei 1969 yang menyebabkannya tayangannya ditangguhkan sebanyak dua kali.

Menteri Datuk Seri Rais Yatim sebelum ini filem berkenaan ditangguhkan tayangannya atas kewujudan beberapa babak yang tidak sesuai dan tidak menggambarkan sejarah sebenar negara.

Menurutnya, Finas akan mengadakan mesyuarat penilaian filem itu dengan pengarahnya tidak lama lagi.

Tiada ulasan: