Jumaat, 2 November 2012

Suami Shahrizat Dibebas Walau Pernah Arah Sogok Polis




KUALA LUMPUR: Pembebasan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail daripada tuduhan rasuah menimbulkan persepsi bahawa beliau dilindungi oleh kerajaan, Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Ini terjadi apabila Datuk Shamsul Bahrin Ismail yang menghadapi 17 tuduhan di Mahkamah Tinggi berhubung isu NFC mengakui beliau diarahkan oleh Mohamad Salleh agar menyogok polis supaya menutup kes NFC ketika siasatan sedang dijalankan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Zuraida, keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Shamsul agar kes beliau diketepikan akan memberi kesan terhadap kes NFC yang lain termasuk kes saman RM100 juta yang difailkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadap beliau dan Pengarah Startegi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

“Lebih menghairankan lagi, melalui bukti yang telah diberikan kepada SPRM jelas menunjukkan Mohamad Salleh suami kepada Shahrizat adalah individu yang telah merancang serta menyuruh Shamsul untuk menyogok pihak polis bagi menutup kes NFC yang ketika itu sedang disiasat.

“Cukuplah pihak tertentu cuba melindungi suami Shahrizat kerana rakyat yang mengikuti kes ini faham dan maklum bahawa kes berprofil tinggi dan keputusan hakim dalam kes ini akan memberi implikasi besar pada kes perbicaraan saman RM100 juta sekiranya kes Shamsul diketepikan ataupun Salleh dihadapkan ke mahkamah,” ujar Zuraida.

Sementara itu, Shamsul dalam sidang media sama, kecewa terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan beliau memberitahu, hakim membuat keputusan tanpa meneliti dokumen yang diberikan kepada mahkamah.

“Dokumen banyak, tetapi keputusan dibuat tak sampai sepuluh minit, sekurang-kurangnya hakim telitilah dulu dokumen,” ujar beliau.

Shamsul turut mempertikaikan tiada tindakan diambil terhadap Mohamad Salleh walaupun beliau merupakan individu yang mengarahkan ‘rundingan’ denganpolis dijalankan.

Tiada ulasan: