Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengenal pasti 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk menjadi pemerhati domestik, selain pemerhati negara Asean untuk pantau Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
  
NONETimbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihak SPR telah mengadakan pertemuan dengan NGO tempatan berkenaan dari seluruh negara bagi membincangkan syarat-syarat pelantikan dan rangka kerja pemantauan
  
Katanya, NGO yang dikenal pasti itu merupakan pertubuhan bebas yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
  
"SPR telah mengenal pasti enam NGO di Semenanjung, sembilan di Sarawak dan tiga di Sabah. Pelantikan dan pemilihan NGO akan dimuktamadkan minggu depan. Kesemua NGO ini perlu mematuhi syarat yang ditentukan serta dikehendaki menandatangani Aku Janji Kerja.
  
"Namun, ia terpulang untuk NGO sama ada menerima syarat pelantikan SPR atau menolak lantikan itu," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Hello Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen BernamaTV semalam.
  
Wan Ahmad berkata SPR akan memberi taklimat kepada semua petugas NGO itu mengenai bertanggungjawab mereka dan proses perundangan dan perjalanan pilihan raya demi kepentingan masa depan negara.
  
NONEKatanya, SPR memberi kelonggaran kepada NGO tempatan berkenaan untuk membuat pemantauan dari tempoh pembubaran Parlimen hingga keputusan pilihan raya serta membuat laporan berasas kepada fakta, dan bukannya sekadar andaian, persepsi  atau dengar cakap.
  
"Jika kita mendapati mana-mana pihak yang melanggar peraturan-peraturan syarat-syarat Aku Janji, atau berkempen untuk mana-mana pihak atau menemuramah pengundi,  maka SPR akan menamatkan pelantikan itu," jelasnya.
  
Bagi pemerhati negara Asean pula, Wan Ahmad berkata langkah SPR untuk mengundang negara jiran sebagai pemerhati antarabangsa merupakan satu langkah  timbal balik dan menghormati langkah negara jiran yang menjemput Malaysia untuk memerhati serta memantau pilihan raya di negara masing-masing.
  
Katanya, negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Filipina akan dijemput sebagai pemantau dan akan menjalankan tugas itu secara profesional, memahami proses pilihan raya dan menghormati undang-undang negara ini.

NONEKatanya, SPR sebelum ini turut menghantar seorang pegawai untuk menyertai delegasi pemerhati Malaysia semasa Pilihan Raya Myanmar tahun lalu.
  
Ahad lalu, akhbar tempatan memetik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bersedia membawa beberapa pemerhati Asean untuk pantau pilihan raya umum ke-13 supaya mereka akan lihat ia berjalan ikut Perlembagaan, undang-undang negara dan kesahihan keputusan rakyat tak boleh dipertikaikan.
  
Wan Ahmad berkata: "Pemerhati dalam negara tetap menjadi pilihan utama kerana rakyat negara kita yang berhak memerhati, memantau, membuat laporan serta mengadakan sidang media untuk memberitahu kepada rakyat, apa yang diperhatikan semasa pilihan raya umum ke-13 kelak".
  
Beliau berkata langkah menjemput pemerhati dari negara Asean untuk memantau pilihan raya umum di Malaysia bukan bermakna "apabila kita mengundang kerajaan lain untuk pantau proses pilihan raya yang ditentukan oleh rakyat, ia seolah-olah membenarkan orang luar ceroboh kedaulatan negara kita".
  
NONEMengenai pendirian SPR terhadap permintaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang kerajaan Australia untuk memastikan pilihan raya di negara ini bebas dan bersih, beliau berkata:
  
"Pendirian SPR sebenarnya jelas. Memang tidak wajar sama sekali kita menjemput kerajaan asing datang campur tangan dalam urusan menentukan proses pemilihan kerajaan di negara kita. Ini adalah kerana Malaysia bukan pertama kali menjalankan pilihan raya dan bukan sebuah negara yang baru mendapat kemerdekaan."
  
Wan Ahmad berkata proses menentukan kerajaan memerintah adalah hak mutlak rakyat Malaysia kerana pilihan raya melibatkan kedaulatan negara.
  
"Motif Ketua Pembangkang ialah untuk menanamkan satu perasaan simpati, yang mereka (parti pembangkang) adalah 'underdog' di kalangan para penyokong, rakyat am khususnya pengundi atas pagar dan pihak luar. Ini merupakan rangka dan agenda perancangan yang rapi.
  
"Motif kedua Anwar ialah untuk mendapat tarikan dan simpati dunia dan pihak antarabangsa supaya tekanan demi tekanan akan datang untuk Malaysia," dakwanya.
  
bagan pinang by-election ec preparing postal votes 071009 01Beliau berkata sekiranya kerajaan Australia menerima pelawaan itu, sudah tentu kerajaan itu akan menulis secara rasmi kepada kerajaan Malaysia dan SPR.

Mengenai undi pos untuk petugas media, Wan Ahmad berkata SPR akan memuat naik Borang 1 di laman web SPR agar semua anggota media boleh mendaftar sebagai pengundi pos menjelang pilihan raya umum ke-13.
  
Katanya, petugas media boleh dikategorikan pengundi pos di bawah Perkara 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 dengan syarat mereka telah terlebih dahulu mendaftar sebagai pengundi.
  
Bagaimanapun, katanya, mana-mana petugas media perlu memohon kepada pegawai pengurus di bahagian mereka mendaftar sebagai pengundi untuk diwartakan sebagai pengundi pos.
  
"Petugas media juga tidak boleh menukar status kepada pengundi biasa selain ia hanya sah untuk satu pilihan raya sahaja," katanya.
  
Sebagai pesanan SPR kepada rakyat, Wan Ahmad meminta rakyat Malaysia untuk mempercayai SPR sebagai sebuah badan yang telus, bebas serta mempunyai tanggungjawab yang besar kepada perlembagaan dan rakyat, dan tidak membuat tuduhan dan fitnah terhadap badan itu sewenang-wenangnya.- Bernama