Sabtu, 10 November 2012

SAMM Lancar Wayang Pacak Sebar Maklumat Selangorku





SABAK BERNAM : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor melancarkan siri Jelajah Anak Muda Selangorku khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini.

Penyelaras SAMM Selangor, Azhar Achil berkata, siri jelajah ini dengan kerjasama TVSelangor bertujuan menyampaikan maklumat dan dasar Kerajaan Negeri secara terus melalui pengedaran risalah mengenai skim dan program supaya rakyat mengetahuinya secara lebih jelas.

Katanya, tumpuan utama siri jelajah ini adalah kepada masyarakat luar bandar kerana masih kekurangan akses kepada saluran media alternatif bagi mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar mengenai Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Siri jelajah ini memberikan naskhah dan risalah mengenai skim bantuan air percuma, penjelasan mengenai hutang Talam, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), serta pengedaran akhbar Selangor Kini kepada penduduk yang datang ke tapak pasar malam ini,” katanya ketika di temui di lokasi pertama siri jelajah di tapak Pasar Malam Sabak Bernam petang semalam.

Azhar berkata, SAMM Selangor turut menggunakan pendekatan menggunakan ‘Wayang Pacak’ iaitu tayangan video mengenai iklan mengenai program serta skim yang dianjurkan selama empat tahun pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Seterusnya, siri jelajah ini akan ke tapak pasar malam di Sungai Besar, Sekinchan, Tanjong Karang, Sungai Panjang dan Bestari Jaya.

Turut hadir ketika melancarkan siri pertama jelajah ini adalah Professor Dr. Aziz Bari yang merupakan calon bagi Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya akan datang.

 Dr Aziz Bari berkata, siri jelajah ini merupakan salah satu kaedah yang ada memandangkan maklumat-maklumat penting kerajaan negeri masih ada yang tidak diketahui oleh rakyat khususnya yang kekurangan kepada akses internet.

“Kekangan media massa yang dimanipulasikan oleh Kerajaan Umno-BN menyukarkan rakyat mendapatkan maklumat sebenar mengenai perancangan yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan rakyat.

“Pengedaran risalah dan maklumat ini dapat memberitahu rakyat bagaimana wang Kerajaan Negeri diuruskan supaya kekayaan negeri dapat dikembalikan kepada rakyat untuk dinikmati,” katanya ketika memberikan ucapan melancarkan siri jelajah itu.



Tiada ulasan: