Rabu, 28 November 2012

Salun unisex: PAS sambut baik keterbukaan Kelantan

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: PAS Pusat sangat mengalu-alukan sikap keterbukaan kerajaan Kelantan menimbangkan cadangan bagi membincangkan isu salun rambut unisex dan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini mengikut konsep hak kebebasan anutan orang bukan Islam.

"PAS sentiasa komited menyelesaikan apa jua permasalahan melalui pintu rundingan," kata kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS hari ini.

Kenyataan itu dibacakan oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sekejap tadi. (gambar)

Kenyataan ini dibuat berikutan kenyataan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Fadzli Hassan yang menyatakan kesediaan kerajaan negeri Kelantan untuk membincangkan isu ini.


Menurut kenyataan itu, PAS percaya Kerajaan Kelantan tidak bermaksud untuk meluaskan pelaksanaan apa-apa peruntukan berkaitan perundangan moral Islam ke atas orang bukan Islam.

Ini dibuktikan, dengan penggubalan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 tidak terpakai ke atas orang bukan Islam.

Dalam masa yang sama, kerajaan Kelantan juga perlu melaksanakan tanggungjawabnya, atas mandat yang diberikan rakyat bagi memastikan kemurnian akhlak rakyat beragama Islam terus terpelihara.

Sehubungan dengan isu ini, PAS percaya bahawa maksud utama peraturan kecil ini adalah untuk tujuan tersebut.

PAS telahpun dimaklumkan oleh kerajaan negeri Kelantan bahawa mereka bersedia menimbangkan cadangan semua pihak daripada kumpulan bukan Islam bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini.

Tiada ulasan: