Khamis, 29 November 2012

PRU13: 2.9 juta pengundi baru sangat signifikan, kata Najib

SINAR HARIAN

Perhimpunan Agung Umno 2012
Perhimpunan Agung Umno 2012
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota Umno bahawa masyarakat kini berdepan dengan perubahan radikal demografik yang mengubah cita rasa dan aspirasi rakyat terutama golongan muda, yang lebih bermaklumat serta kritikal.

Perdana Menteri berkata keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi di Malaysia menyumbang kepada perubahan landskap politik negara berikutan peningkatan taraf hidup, proses perbandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi dan pengangkutan yang berlaku di negara ini.

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini hari ini, Presiden Umno itu menarik perhatian anggota perwakilan bahawa sejak Mac 2008, seramai 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.

Katanya angka itu sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada pengundi Malaysia yang kini mencapai 13.1 juta orang.

Ini bermakna setiap seorang daripada lima pengundi bagi pilihan raya umum ke-13 adalah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali, katanya.

"Lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pascapenubuhan Umno. Oleh sebab itu penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan berdasarkan kepada pengalaman masa lalu dan apa yang dilakukan semalam, sebaliknya ia berasaskan merit hari ini serta wawasan masa depan," tegas Najib.

Katanya, perubahan demografik antara lain menyaksikan majoriti daripada 29 juta penduduk Malaysia hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir 70 peratus tinggal di kawasan bandar.

Beliau berkata sebanyak 80 peratus penduduk negara ini berumur kurang 45 tahun manakala separuh daripada rakyat Malaysia berusia di bawah 25 tahun.

"Sebanyak 40 peratus pada lingkungan umur 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah," katanya.

Najib berkata transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit sejak lebih lima dekad.
"Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa kerajaan Perikatan dan kemudian diteruskan oleh kerajaan Barisan Nasional," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: