Sabtu, 17 November 2012

Perwakilan: Pemimpin ghairah buat 'kenyataan bercanggah'


Abdul Rahim Sabri


 
Seorang perwakilan di Muktamar PAS hari ini menegur pemimpin parti yang menurutnya ghairah membuat kenyataan kepada media sehingga menimbulkan percanggahan di antara satu sama lain.

Tanpa menyebut individu yang dimaksudkan, wakil Perlis, Yaakob Abu Seman berkata tindakan pemimpin PAS itu "memeningkan kepala" jentera di bawah untuk menjawab perkara yang dibangkitkan.

"Jangan terlalu ghairah dengan mikrofon dan tape recorder wartawan. Contohnya isu kenyataan Nurul Izzah, PAS pusat kata tunggu untuk mendapatkan maklumat lengkap.

NONE"Ini adalah sikap yang terbaik. Bermaklumat dahulu baru buat kenyataan... (Tetapi) Ada pemimpin ghairah buat kenyataan, (sepatutnya) elak terlebih dahulu," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Beliau mengulas laporan yang memetik kenyataan pemimpin parti itu berhubung isu kontroversi mengenai kebebasan beragama – rentetan daripada kenyataan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu forum.

Antara pemimpin PAS yang mengulas perkara itu termasuk bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, ahli jawatankuasa pusatnya Khalid Samad, serta ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib.
'Jangan terperangkap'
Di samping itu, Yaakob turut mengingatkan para pemimpin parti itu, dan juga dalam Pakatan Rakyat, supaya tidak terperangkap dalam permainan media arus perdana".

Beliau mendakwa, media pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia dan TV3 itu bertindak demikian untuk memecahbelahkan kesepakatan dalam Pakatan.

NONE"Laporan polis, saman malu belakang kira, tapi imej (pemimpin) dicalarkan dahulu (melalui laporan media) untuk memberi kesan kepada rakyat dan pengundi," katanya.

Di kesempatan itu, Yaakob turut membidas Dewan Pemuda PAS Pusat yang didakwanya "kurang menunjukkan apa yang diperjuangkan" sayap parti itu.

Beliau membandingkan perkara itu dengan usaha yang ditunjukkan PAS Pusat, yang menurutnya lebih fokus terhadap sesuatu isu seperti melibatkan Felda, saman trafik dan juga perhimpunan Gelombang Hijau.

"Kalau ingin berjuang (menarik) artis, golongan karyawan, beri kesungguhan... (Pemuda) perlu mempunyai agenda tertentu. Ada langkah-langkah dia," katanya.

Yaakob juga menggesa jentera penerangan parti supaya menggiatkan usaha untuk memberi penjelasan mengenai tawaran negara berkebajikan yang dipilih sebagai tema muktamar parti sejak tahun lalu.

Tiada ulasan: