Selasa, 27 November 2012

Permohonan Khairy dalam kes saman fitnah RM100j Anwar ditolak

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mengetepikan perintah berhubung pembelaan beliau dalam kes saman fitnah RM100 juta terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng, yang membuat keputusan itu dalam kamar, menolak permohonan Khairy dengan kos RM30,000.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Anwar dipetik Bernama berkata, dalam keputusannya, mahkamah berpendapat afidavit Khairy tidak mempunyai merit.

Beliau berkata, mahkamah juga berpendapat Khairy mengambil mudah prosiding pada 13 Ogos dan menetapkan 26 Disember untuk perbicaraan kes saman itu.

Khairy mengemukakan permohonan itu berikutan kegagalan beliau, selaku defendan, mematuhi perintah mahkamah pada 29 Jun lepas agar memfailkan beberapa dokumen termasuk senarai saksi dan ringkasan kes.

Pada tarikh itu, Hakim Hue berkata, jika Khairy gagal berbuat demikian, beliau akan membuat perintah bagi menghalang Anggota Parlimen Rembau tersebut membuat pembelaan dalam saman berkenaan.

Bagaimanapun, Khairy gagal mematuhi perintah itu malah peguamnya turut tidak hadir ke mahkamah pada 13 Ogos lepas, yang ditetapkan untuk pengurusan kes, menyebabkan Hakim Hue mengeluarkan perintah tersebut.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman selepas mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan perkataan berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di laman web termasuk Malaysiakini.com.

Ketua Pembangkang itu juga mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi kata-kata yang diucapkan Khairy pada satu ceramah di Lembah Pantai pada atau kira-kira 20 Februari 2008.

Tiada ulasan: