Jumaat, 9 November 2012

PENGURUS MAYAT MAUT DISAMBAR PETIR

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI


KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan maut disambar petir ketika sedang berlindung di sebuah pondok berhampiran tanah perkuburan Kristian di Taman Century di sini petang kelmarin.

Difahamkan mangsa, Daniel Rodie, 34, yang bekerja sebagai pengurus mayat meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.
 
Turut dipercayai salah seorang daripada keluarga mayat yang dikebumikan di situ cedera, impak daripada panahan petir berkenaan.

Terdahulu sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bertelefon ketika berteduh di pondok berkenaan dalam insiden kira-kira jam 3.30 petang itu.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, sepasukan anggota polis telah digegaskan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan mendapati mangsa yang merupakan pengurus mayat telah disambar petir.

“Seorang lagi lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang juga ahli keluarga mayat yang dikebumikan di situ turut cedera dan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan ia diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. (UB)

Tiada ulasan: