Selasa, 20 November 2012

Pelunasan hutang Talam keputusan komersil yang bijak - Kertas Putih

Harakahdaily,
 
SHAH ALAM: KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (“KPMG”) yang membuat audit terhadap pelunasan hutang-hutang Talam mendapati ia satu keputusan komersil yang bijak.

Ini juga bukan satu “bailout” kerana tiada sebarang bayaran samada dalam bentuk tunai atau barangan pernah diberikan kepada Talam untuk mendapatkan tanah atau hartanahnya.

"KPMG berpandangan bahawa keputusan Kerajaan Negeri untuk memulakan dan melengkapkan Perjanjian Pelunasan Menyeluruh (GSA)  merupakan keputusan komersil yang bijak," kata kertas putih yang dibentang kepada kerajaan negeri Selangor hari ini.

Kertas putih ini disediakan oleh KPMG, sebuah firma oudit yang bertauliah, selepas dilantik oleh kerajaan untuk menilai pelunasan hutang-hutang Talam.

Berikut adalah ringkasan Kertas Putih yang disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor.

Ringkasan Kertas Putih: Pelunasan Menyeluruh Hutang Talam


Skim Pelunasan Hutang Talam dibincangkan dan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 2 November 2009 dan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 16 November 2009.

Hutang-hutang Talam timbul hasil usahasama Talam dengan kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi pembangunan tanah (1994-2002), manakala hutang kepada Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB/ Universiti Industri Selangor (UNISEL) hasil perjanjian penswastaan bagi pembinaan Universiti Industri Selangor pada 2001 & 2003.

Hutang kepada KHSB dan PNSB kerana Talam gagal memenuhi obligasi untuk membayar bahagian keuntungan mereka dalam usahasama tersebut.

Dalam kes UNISEL pula, Talam telah tidak dapat meneruskan pembinaan Universiti setelah perjanjian ditamatkan.

Walaupun kerajaan negeri terdahulu berusaha melaksanakan skim pelunasan hutang-hutang Talam ini dari 2005-2008 tetapi ia gagal dilaksanakan dan tiada wang yang berjaya dikutip.

Kerajaan Negeri Selangor pada 2009 / 2010 memikul tanggungjawab untuk memulakan usaha baharu bagi mengutip hutang-hutang tersebut menerusi Perjanjian Pelunasan Menyeluruh (GSA) dengan Talam bertujuan menyelesaikan kutipan hutang-hutang Talam secara sekali gus.

Ini ekoran wujudnya satu keperluan yang mendesak untuk Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan isu hutang-hutang Talam kerana kegagalan rancangan pelarasan kewangan Talam boleh memberikan impak buruk kepada semua GLC yang berkenaan.

Ini kerana, Talam menghadapi masalah kewangan yang serius dan telah dikategori sebagai syarikat berstatus PN17 di antara 1 September 2006 dan 10 Jun 2010 kerana kegagalannyamembuat bayaran bagi pinjaman dan bon.

Justeru, Talam perlu melaraskan kedudukan kewangannya dengan mengemukakan satu pelan pelarasan kepada Bursa Malaysia Berhad.

Sehubungan itu, GSA pilihan terbaik kerana cara tersebut telah membawa kepada penyelesaian penuh, muktamad dan kutipan semula pembayaran hutang-hutang Talam itu akan menjadi lebih terjamin.

Ini kerana, Di bawah GSA, Talam mengakujanji untuk melunaskan sejumlah RM392 juta (“Tuntutan Boleh Terima”) dengan cara memindahkan aset-aset mereka kepada MBI. Sila rujuk Lampiran bagi senarai aset berkenaan.

Talam juga mengakujanji dan memberi jaminan bahawa mereka akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan pelunasan seluruh Tuntutan Boleh Terima yang tertunggak iaitu sebanyak RM392 juta.

Berdasarkan jaminan dan akujanji tersebut, Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa seluruh jumlah Hutang Talam sebanyak RM392 juta itu akhirnya akan dilunaskan.

Pengambil alihan hutang-hutang Talam kepada Kerajaan Negeri (akhirnya diletakkan di bawah MBI) tidak membabitkan wang awam.

Hutang-hutang Talam ini dipindahkan kepada MBI bagi membolehkan MBI mengawal proses penyelesaian termasuk penjualan Aset Yang Dilunaskan.

Dalam proses pengambil alihan hutang-hutang ini kepada MBI, kerajaan negeri hanya membelanjakan RM420,000 yang mana sebahagian besarnya yuran perundangan dan faedah yang dikenakan oleh pihak bank.

Faedah GSA


Pelunasan hutang melalui GSA ini membolehkan pengutipan semua hutang Talam disatukan di peringkat Negeri yang mana MBI akan memastikan proses pengutipan hutang Disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor diselesaikan secara holistik berbanding cara sebelum ini yang mana tiap-tiap anak syarikat Negeri berurusan secara berasingan dengan pihak Talam.

Dengan menyelesaikan pelunasan hutang-hutang Talam, ia secara langsung dapat menaik taraf kedudukan kewangan GLC menerusi pengukuhan lembaran kewangan syarikat masing-masing.

Penilaian


1. Tanah Bukit Beruntung


Penilaian oleh Suleiman & Co pada 6 Ogos 2009 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM375 juta manakala penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Jabatan Penilaian) bertarikh 3 Mac 2010 menetapkan nilai tanah pada RM113 juta. Perbezaan ini kerana nilaian Jabatan Penilaian mengambil kira status kategori kegunaan tanah sebagai “pertanian” manakala nilaian Suleiman & Co telah mengambil kira kategori kegunaan tanah tersebut sebagai “pembangunan bercampur”.

Permohonan menukarkan “pertanian” kepada “pembangunan bercampur” telah dibuat oleh Talam pada 1994 dan bayaran premium telah dibuat sebanyak RM8 juta tetapi proses pertukaran belum diselesaikan kerana pada masa tersebut Talam belum menjelaskan caruman perparitan sebanyak RM4 juta.

MBI telah menyelesaikan RM4 juta pembayaran untuk caruman perparitan pada 2010 bagi membolehkan penjualan tanah kepada PNSB. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa nilaian yang dibuat oleh Suleiman & Co. adalah lebih menepati nilai sebenar Tanah Bukit Beruntung.


2. Tanah Bestari Jaya


Tanah Bestari Jaya telah ditukarkan sebagai balasan bagi pembinaan kampus UNISEL pada 2001 pada nilai RM115,000 seekar.

Penilaian oleh Mitra Valuers pada 30 November 2009 pada kadar purata RM88,000 seekar kerana muka bumi yang tidak rata dengan sebahagiannya adalah tasik-tasik bekas lombong, yang memerlukan penimbusan tanah bagi pembangunan masa hadapan.

Mitra Valuers telah mengambil kira faktor-faktor keadaan tanah tersebut dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi nilainya secara umum.

Oleh itu, nilai purata RM80,000 seekar telah dipertimbangkan dan diterima oleh MBI di dalam GSA. Ini telah memberikan kelebihan kepada MBI berbanding dengan harga RM115,000 seekar yang telah diguna pakai dalam transaksi terdahulu.

3. Tanah Danau Putra


Nilaian Jabatan Penilaian bertarikh 20 Julai 2012 telah menetapkan nilai tanah tersebut pada RM17.66 skp. Penilaian tersebut dibuat atas permintaan MBI selepas GSA termeterai.

Penilaian itu hanya dilakukan setelah penjualan 2 plot tanah setiap satunya kepada Golden Sprint Sdn Bhd (GSSB) dan Perikatan Progresif Sdn Bhd (PPSB), dengan harga RM15 skp, iaitu sama dengan balasan kasar yang dinyatakan di dalam GSA. Kedua-dua tanah tersebut yang dijual kepada GSSB dan PPSB berasaskan nilai mengikut GSA. Oleh itu, MBI telah berjaya mendapat nilai penuh kedua-dua tanah tersebut seperti yang dinilaikan di dalam GSA.

Laporan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Talam, sebahagian besar Tanah Danau Putra merupakan tasik-tasik bekas lombong dan diliputi air. Dalam menetapkan nilaian, kedua-dua penilai telah mengambil kira anggaran kos penimbusan tanah bagi kawasan-kawasan yang diliputi air.

Pampasan kepada GLC


Walaupun hutang-hutang Talam ini telah dipindahhak kepada Kerajaan, namun MBI telah bersetuju untuk menyediakan pampasan tambahan kepada GLC sebagai balasan pelunasan hutang Talam. Pampasan ini adalah:

 pampasan kepada UNISEL berjumlah RM248.7 juta, MBI akan mengambil alih sejumlah aset tetap yang sedia ada atau perbelanjaan modal masa hadapan dan pinjaman bank yang berkaitan dengan UNISEL. Ini akan meringankan UNISEL daripada bebanan perbelanjaan modal pada masa hadapan.

 Bagi KHSB, MBI telah bersetuju untuk menyediakan satu geran khas bernilai RM115 juta yang akan dibayar dalam bentuk aset dan wang tunai.

 Bagi PNSB pula, MBI telah bersetuju untuk menyediakan satu geran pembangunan bernilai RM28 juta.

Kesimpulan

Pelunasan hutang-hutang Talam menerusi GSA dilaksanakan bagi memastikan anak-anak Syarikat Kerajaan (GLC) Negeri Selangor mampu mengutip semula hutang-hutang Talam.

Ini bukan satu “bailout” kerana tiada sebarang bayaran samada dalam bentuk tunai atau barangan pernah diberikan kepada Talam untuk mendapatkan tanah atau hartanahnya.

KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (“KPMG”) yang menjalankan pemeriksaan bebas terhadap usaha pungutan semula hutang-hutang Talam berpandangan bahawa keputusan Kerajaan Negeri untuk memulakan dan melengkapkan GSA merupakan keputusan komersil yang bijak.

Tiada ulasan: