Jumaat, 30 November 2012

Pelajar melecur di sirkit antarabangsa Sepang dianugerah RM222,398

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM— Seorang pelajar kejuruteraan automotif yang melecur di laluan 'pit' semasa perlumbaan kereta di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2010, dianugerah gantirugi RM222,398 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.  

Hakim Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham memerintahkan Aylezo Motorsports Sdn Bhd dan Sepang International Circuit Sdn Bhd membayar sejumlah RM175,000 sebagai gantirugi umum dan RM47,398 gantirugi khas kepada Jordan Saw Yu Huan, 25.

Aylezo Motorsports dikenakan liabiliti 60 peratus sementara Sepang International Circuit 40 peratus.   

Prasad yang menyampaikan keputusan itu dalam kamar membenarkan saman itu terhadap dua pihak berkenaan dengan kos RM20,000.

Pada 3 Ogos tahun lepas, Saw, pelajar Kolej Otomotif, memfail saman kecuaian terhadap lima pihak.

Beliau menmakan antara mereka, pemandu kereta lumba Low Suan Chuan; seorang pengarah Team Empire Motorsports Sdn Bhd, Ashraff Dewal Mohd Ali; dan penaja Aylezo Motorsports Sdn Bhd sebagai defendan. 

Yang lain Sepang International Circuit Sdn Bhd, penganjur Merdeka Millennium Endurance Race 2010, dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM). 

Bagaimanapun, Prasad hari ini menolak tuntutan terhadap Low, Ashraff Dewal dan AAM. —  Bernama 

Tiada ulasan: