Selasa, 27 November 2012

Pecat guru taktik Umno untuk menakut-nakutkan rakyat – Abas

Oleh Aliff Fikri

KUALA LUMPUR r: Ketua Biro Pendidikan KEADILAN, Abas Awang berkata, pemecatan guru sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) merupakan taktik kotor Umno untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak lagi menyokong Pakatan Rakyat.

“Memberi ceramah dan mendengar ceramah adalah amalan biasa dalam negara yang mengamalkan konsep demokrasi.

“Apakah Umno BN tidak faham apa itu demokrasi yang mereka sendiri sering sebutkan? Sedangkan hadir ke program ceramah merupakan hak rakyat dan ia tidak sepatutnya dinafikan.



“Inilah Umno BN, cakap tak serupa bikin. Tak cukup di Semenanjung, di Borneo dan Labuan pun mereka nak buat kacau,” katanya ketika dihubungi.

Abas berkata, selain dipecat, ada kemungkinan sebilangan kakitangan kerajaan dinafikan kenaikan pangkat kerana sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

“Ugutan dan pemecatan adalah usaha kerajaan untuk mengawal dan memastikan kakitangan tidak beralih sokongan, walaupun hakikatnya mereka sebenarnya menyokong kita.

“Taktik ini akan berterusan digunakan untuk menghalang kebangkitan rakyat,” tegasnya.

Guru berkenaan, Qatrun Nada Laftfi merupakan kakitangan sementara Jawi, dan bertugas di Sekolah Rendah Agama Islam Rancha-rancha, Labuan.

Beliau menerima notis pemecatan sebulan berkuatkuasa 1 Disember ini, kerana menghadiri ceramah Pakatan Rakyat yang disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lalu.

Bagaimanapun, notis yang diterima beliau pada 24 Oktober itu tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan secara terperinci.

Sebelum pemecatan tersebut, Qatrun Nada menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai orang kuat Umno Labuan pada 9 Oktober lepas.

Dalam panggilan itu, individu berkenaan memberi amaran kepada Qatrun Nada agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Tidak lama selepas panggilan itu, Qatrun Nada dipanggil ke pejabat Jawi Labuan untuk disiasat mengenai kegiatan luar beliau pada 22 Oktober.

Qatrun Nada merupakan bekas penuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan.

Beliau juga merupakan bekas Ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang terlibat dalam demonstrasi menuntut air bersih di UMS Labuan pada 2009.

Tiada ulasan: