Selasa, 27 November 2012

Pakatan optimis tawan Putrajaya dengan 'sopan'

AHMAD NORMAN ABU TALIB

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
 
SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR)  menolak dakwaan kononnya akan menimbulkan kekacauan sekiranya gagal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, malah optimis bakal merampas Putrajaya.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, beliau yakin tidak akan berlaku sebarang kekacauan kerana PR akan memenangi PRU akan datang malah menegaskan itu bukan budaya pakatan itu.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, PR tidak membawakan budaya samseng sebaliknya menonjolkan dasar-dasar melalui program-program diadakan dalam memartabatkan rakyat.

“PR akan menang jadi tidak timbul isu ini... tidak ada kalau kerana saya cukup optimis dan yakin PR akan menerajui kerajaan baru di Putrajaya selepas PRU13.

“Budaya yang dibawa Umno sekarang adalah budaya samseng dan ekstremis tetapi kalau kita lihat situasi politik sekarang golongan seperti ini pasti akan mengalami kekalahan kerana rakyat tidak mahu lagi politik perkauman sempit dan fahaman agama jumud,” katanya ketika ditemui di Bangunan SUK di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya PR ingin mengadakan demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan di luar sistem pilihan raya.

Malah Dr Mahathir mendakwa hasrat pembangkang menjemput pemerhati luar untuk memantau PRU13 sebenarnya bertujuan menuduh kerajaan menipu dalam pilihan raya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, PR tidak pernah merancang untuk mengadakan demonstrasi sekiranya tewas PRU13 kerana pakatan itu hanya menumpukan usaha untuk menawan Putrajaya.

Beliau secara sinis menyifatkan Mahathir sepatutnya membuat kenyataan tersebut terhadap Umno-Barisan Nasional (BN).

“Bagi PR, kami hanya ada rancangan untuk menawan Putrajaya dan tak ada rancangan untuk buat demonstrasi selepas kalah kerana kami yakin akan tawan Putrajaya.

“Tun M (Mahathir) mungkin perlu buat kenyataan apakah Umno-BN akan buat demonstrasi mencetuskan huru-hara selepas gagal mempertahankan Putrajaya?” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini semalam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, kerajaan tidak perlu gusar berhubung isu pemerhati luar itu sebaliknya berfikiran positif kerana ia secara tidak langsung dapat memberi pengiktirafan pada sistem pilihan raya negara ini sekiranya dilaksanakan secara adil.

“Kalau betul telus maka apa yang nak ditakuti? Berani kerana benar. Jangan syok sendiri kerana pemerhati adalah neutral.

“Lagipun ia dapat membantu memperbaiki kelemahan sistem yang wujud sekiranya ada,” katanya.

Tiada ulasan: