Selasa, 27 November 2012

Nazri bentang usul larangan kenyataan seksis esok

 
Perengaan 4 dalam Peraturan Mesyuarat 36 akan dipinda dengan memasukkan ayat 'atau membuat perkataan yang seksis' selepas perkataan 'biadap'.



KUALA LUMPUR: Satu usul bagi mengenakan peraturan melarang ahli Parlimen daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang berunsur seksisme akan dibentang dalam Dewan Rakyat esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, perengaan 4 dalam Peraturan Mesyuarat 36 akan dipinda dengan memasukkan ayat ‘atau membuat perkataan yang seksis’ selepas perkataan ‘biadap’.

Sekaligus menjadikan Peraturan Mesyuarat 36(4) berbunyi: “Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan yang seksis”.

Nazri berkata dirinya akan membentangkan usul ini kira-kira 11.30 pagi untuk dibahas dan digulungkan, iaitu sebaik sahaja selesai sesi soal jawab dalam Dewan.

Ditanya mengenai jenis perkataan yang boleh menggambarkan seksis, Nazri berkata keputusan itu terletak di tangan Speaker.

“Speaker punya kuasa untuk untuk tentukan sama ada perkataan yang dilontarkan ahli Parlimen itu berbaur seksis.

“Berdasarkan kajian, saya rasa hanya negara kita yang mempunyai peraturan ini demi menjaga kehormatan kaum wanita,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata pihaknya masih meneliti kajian bagi cadangan memotong gaji menteri di. bawah Peraturan Mesyuarat 66 sebelum dibawa ke Dewan untuk diluluskan.

Tiada ulasan: