Selasa, 27 November 2012

Najib sah PRU13 bukan bulan depan

G MANIMARAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak 
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan telah mengesahkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak akan diadakan bulan depan meskipun dalam temu bual sempena Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012, yang disiarkan kelmarin, beliau ada mengatakan musim hujan bukan halangan untuk memanggil pilihan raya.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengatakan perkara ini kepada ahli-ahli Umno pada majlis taklimat presiden yang diadakan di Dewan Merdeka, petang ini sempena AGM kali ini.

"Datuk Seri Najib sudah mengatakan dengan jelas PRU13 bukan bulan depan. Beliau berkata 'oleh kerana ini majlis tertutup, saya boleh memberitahu pilihan raya bukan bulan Disember'... jadi, pasal pilihan raya, ini bayangan yang jelas," kata seorang pemimpin parti kepada Sinar Harian Online.

Majlis Presiden merupakan sesi tradisi menjelang AGM parti.

Pemimpin yang enggan namanya didedahkan menambah Najib secara berseloroh ada menyebut bahawa "PRU13 akan diadakan tahun depan" sambil merujuk kepada tempoh sama ada antara Januari atau April, atau "dalam dua bulan selepas itu."

"Kita ada antara Januari dan April dan tambahan 60 hari... itu kata Datuk Seri Najib," kata seorang lagi pemimpin bahagian.

Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan. Parlimen akan terbubar secara automatik selepas itu jika Perdana Menteri tidak memutuskan untuk berbuat demikian sebelum itu.

Sinar Harian Online juga difahamkan agensi-agensi kerajaan juga telah menarik balik arahan membeku cuti hujung tahun yang dikeluarkan sebelum. Maklumat terbaru diterima menunjukkan notis terbaru dikeluarkan meminta semua cuti dibekukan selepas minggu kedua bulan Februari.

Penganalisis dan pemerhati menjangkakan PRU13 akan diadakan awal Mac depan.

Tiada ulasan: