Khamis, 29 November 2012

Najib perlu bersihkan nama jika tidak terlibat kes pembunuhan Altantuya

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib perlu bersihkan namanya jika benar tidak terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, untuk membuktikan Perdana Menteri ada maruah, beliau mesti menjelaskan kepada rakyat berhubung kes tersebut.

“Keengganan Perdana Menteri berterus-terang mengesahkan lagi persepsi rakyat tentang penglibatan beliau dalam kes tersebut.

“Kredibiliti dan maruah Najib sudah masuk enam tahun tercemar kerana diheret dalam skandal berkenaan.



“Jika Najib ada maruah, beliau perlu bersihkan namanya dengan menafikan dakwaan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, kawan baik Rosmah Mansor, Deepak Jaikishan mendedahkan dakwaan terbaru mengaitkan keluarga Perdana Menteri dengan isu pembunuhan Altantuya.

Ahli perniagaan itu mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Najib dan juga beberapa pendedahan yang turut berkait dengan pembunuhan itu.

“Penemuan baru yang didedahkan Deepak membuktikan penglibatan Najib dalam pembunuhan Altantuya dan juga pembelian kapal selam Scorpene yang sedang dibicara di Mahkamah Perancis.

“Najib harus mengambil langkah menjelaskan sepenuhnya. Cukuplah tindakan beliau menjatuhkan maruah negara dan rakyat dalam isu ini,” katanya.

Beliau menyarankan kerajaan menubuhkan suruhanjaya khas untuk menyiasat kes ini.

“Kenapa mereka tak mahu siasat dakwaan tersebut jika benar pemimpin yang mereka dokong itu, tidak terlibat dalam kedua-dua kes yang amat mengejutkan negara serta dunia antarabangsa,” soalnya.

Tiada ulasan: