Jumaat, 16 November 2012

Muktamar lebih panas dari yang dijangka

 
Rakyat terutama penyokong PAS mahu melihat pendirian terbaru pimpinan parti dalam isu negara Islam yang masih menjadi buah mulut.



PETALING JAYA: Muktamar PAS di Kota Baru ini diduga lebih panas daripada yang dijangka. Ia juga menjadi tumpuan baik dari Pakatan Rakyat mahupun BN.

Meskipun tidak ada pemilihan jawatan, muktamar kali ini dijangka hangat dengan perbahasan terbuka terhadap isu-isu semasa seperti hubungan PAS-DAP.

Pada muktamar kali ini rakyat terutama penyokong PAS mahu melihat pendirian terbaru pimpinan parti dalam isu negara Islam yang masih menjadi buah mulut.

Isu ini menjadi buah mulut berikutan pendirian tidak jelas dan sentiasa berubah-ubah di kalangan pemimpin PAS.

Meskipun, pimpinan mengatakan ia telah selesai tetapi sesetengah rakyat melihat PAS telah tunduk kepada DAP dan PKR regunya dalam Pakatan Rakyat.

Kedudukan dan masa depan bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dijangka dibahaskan secara panjang lebar terutama dari perwakilan yang melihat ahli Parlimen sudah menjadi `musuh’ PAS dan Pakatan Rakyat.

Apatah lagi sejak-sejak akhir ini Nasharuddin tidak henti-henti menyerang PAS terutama dalam pendirian negara Islam dan hudud.

Seorang perwakilan dari Terengganu – Wahab Mohamad – menduga perwakilan dari kumpulan penyokong Timbalan Presiden sekarang Mohamad Sabu akan membuat gesaan supaya Nasharuddin dipecat dari PAS.

“Saya dapat merasakan begini…seolah-olah Nasharuddin menjadi musuh besar kepada PAS. Sebahagian orang PAS di sini (Terengganu) sudah bercakap mengenai hal ini.

“Masa depan Nasharuddin akan ditentukan di sini. Perwakilan akan menekan pimpinan supaya memecat Nasharudin,” kata perwakilan veteran itu.

Rakannya Abas Ali, pula mencelah sejak kebelakangan ini PAS semakin ghairah untuk menghukum orang yang tidak sebulu dengan pimpinan tertentu.

Katanya, sebelum ini PAS memecat Naib Presiden, Datuk Hasan Ali kerana mengecam pendirian parti dalam isu negara Islam.

`Kita mesti bersatu’

“Jika PAS memecat Nasharudin bermakna dua orang profesional hilang dari perjuangan kita. Saya bimbang selepas ini golongan profesional akan takut untuk menyertai PAS,” tambah beliau.

Hasan sebelum menyertai PAS pada 1999 merupakan pakar motivasi dan memegang jawatan kanan dalam pelbagai jabatan kerajaan.

Nasharudin pula bekas pensyarah UKM. Pada pilihanraya umum 1999, beliau menang kerusi Parlimen Yan di Kedah.

Isu Nurul Izzah Anwar turut dijangka disentuh oleh sebilangan perwakilan terutama dari golongan yang masih berpegang teguh kepada Islam sebenar.

Mereka bimbang keterbukaan PKR dalam beberapa isu sosial akan menjadi halangan kumpulan pengundi Melayu tradisional untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Ketua Dewan Himpunan PAS Pusat, Hu Pang Chow berkata, muktamar ini perlu memfokuskan kepada pilihanraya umum 13.

“Pakatan Rakyat perlu menjatuhkan kerajaan Umno dan BN. Kita mesti bersatu,” katanya.

Nada serupa disuarakan olek Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Ulamak Datuk Harun Taib.

Beliau menekankan isu-isu utama yang diketengahkan ialah mengenai pilihanraya.

Muktamar PAS kali ke 58 akan bermula Jumaat ini. Bagaimanapun, Permuda dan Muslimah bermula malam ini.

Tiada ulasan: