Sabtu, 10 November 2012

MB : Usahawan Islam Mesti Lebih Berani





KLANG  : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan usahawan industri halal yang beragama Islam supaya lebih berani meneroka bidang pengeluaran lain yang mempunyai permintaan tinggi selain daripada produk makanan.

Bidang lain itu antaranya pengeluaran ramuan, kosmetik dan farmaseutikal halal.

Katanya, berdasarkan statistik permohonan sijil halal, bidang-bidang ini diceburi oleh syarikat bukan islam dan usahawan berbangsa lain yang memonopoli pengeluaran makanan dan minuman serta rumah penyembelihan di negeri itu.

“Kita mesti belajar supaya umat islam lebih ke depan dalam bidang ini supaya dapat menampung permintaan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Halal Festival di Masjid As Syarif, di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Agama Islam negeri (JAIS) supaya merangka langkah-langkah untuk membantu usahawan memperkembangkan industri itu.

“Saya juga berharap program ini diteruskan dan diimarahkan di masjid-masjid yang lain sekitar negeri,” katanya.

Sehingga 2011, sebanyak 4,787 sijil halal dikeluarkan kepada pekilang, premis dan rumah sembelihan di negara ini.

Sebanyak 701 syarikat pula diluluskan Pensijilam Halal untuk mengeksport pengeluaran produk ke luar negara.

Di Halal Festival yang berlangsung di masjid As Syarif selama tiga hari itu, sebanyak 30 gerai mempamerkan makanan, minuman dan pakaian.

Festival yang dianjurkan oleh JAIS itu merupakan kesinambungan penganjuran Karnival Halal Negeri Selangor tahun lalu.



Tiada ulasan: