Jumaat, 9 November 2012

Letak jawatan Mashitah, desak Jingga 13

 
NGO tersebut mendakwa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri gagal menjaga kesucian Islam tetapi mengkritik pemimpin PKR, Nurul Izzah Anwar.



PETALING JAYA: NGO pro – PKR, Jingga 13 hari ini mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim meletakkan jawatan beliau ekoran dari tindakan Mashitah mengkritik Naib Presiden PKR ,Nurul Izzah Anwar.

“Mashitah  wajar meletakkan jawatan kerana beliau gagal dan bersikap hipokrik dalam menjaga kesucian Islam yang telah dicemari oleh Umno dan sekutu BN,” kata ketua penyelaras Jingga 13, Fariz Musa dalam satu kenyataan media.

Desakan ini timbul berikutan kenyataan Mashitah pada hari kelmarin di Dewan Rakyat. Mashitah menyatakan Nurul yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai boleh didakwa di bawah enakmen kawalan agama kerana menghina Islam.

Pada hari Sabtu lepas, Nurul yang menjadi ahli panelis forum  “Negara Islam? Visi mana? Tanggungjawab siapa?” dilaporkan menyatakan sokongan terhadap kebebasan beragama berdasarkan kepada Surah Al-Baqarah dan syariat Islam.

Bagaimanapun, Fariz mempertahankan kenyataan Nurul.

“Kenyataan Nurul cukup jelas adalah berteraskan kepada ayat suci Al-Quran di surah Al-Baqarah , ayat 256 bahawa “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” yang ternyata telah diputarbelitkan dan dipolitikkan melalui cara yang sangat kotor oleh media Umno/BN dan pimpinan Umno khususnya Mashitah.

“Sikap dwi-standard yang diamalkan oleh Mashitah yang menjaga hal-ehwal agama Islam ternyata jelas bertopengkan kedudukan mereka demi kelangsungan Umno menyerang YB Nurul Izzah Anwar ,  sedangkan hakikatnya tidak mampu mempertahankan Islam dan hudud apabila Datuk Seri Chua Soi Lek dan MCA menghina Islam dan hudud secara terang-terangan.

Baru-baru ini Chua mengkritik pelaksanaan hudud akan menyebabkan 1.2 juta orang kehilangan kerja dalam sektor perkhidmatan dan pelancongan.

`Siapa dia ni’

Fariz turut menjelaskan bahawa kenyataan Nurul menyentuh isu paksaan dalam Islam, bukannya isu murtad seperti mana yang digembar-gemburkan oleh media milik Umno dan BN.

Fariz turut menyoal kebisuan Mashitah dalam menyoal tindakan anak bekas Presiden Umno yang memiliki kilang arak.

“Malah seorang ‘Melayu’ dan dikatakan sebagai seorang Islam , anak kepada bekas Presiden Umno memiliki kilang arak San Miguel pun beliau gagal mengambil tindakan dan terus diam membisu. Seolah-olah ada perbezaan undang-undang dan hukum.

“Mashitah dan pimpinan Umno tidak ubah seperti perumpamaan ayam berkokok berderai-derai , tetapi ekor penuh bergelumang tahi!” kata Fariz.

Mengulas desakan Jingga 13, Mashitah berkata: “Siapa dia ini nak desak orang letak jawatan?”

Tiada ulasan: