Rabu, 28 November 2012

Kes 92 pensyarah UPNM, Zahid jangan lepas tangan

Muhammad Faizal,

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didesak agar campurtangan dalam isu 92 orang pensyarah kontrak yang ditamatkan perkhidmatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Berkata kepada Harakahdaily, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menjelaskan, sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada angkatan tentera dan juga bekas angkatan tentera, Zahid tidak boleh lepas tangan dari isu tersebut.

Malah, Zahid perlu memastikan kebajikan pensyarah-pensyarah yang merupakan anggota angkatan tentera itu terus terbela.

"Saya mahu Zahid turut campurtangan dalam kemelut yang berlaku di UPNM dan beliau sebagai menteri perlu bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian.

"Hak dan kebajikan mereka yang telah ditamatkan perkhidmatan perlu dipastikan terjamin, ini merupakan kebajikan untuk mereka meneruskan kehidupan," jelasnya.

Menurutnya lagi, biarpun Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan tindakan tersebut sebagai penamatan kontrak, namun Zahid perlu berperanan bagi memastikan ada kesinambungan kepada hak-hak pensyarah-pensyarah yang telah ditamatkan kontrak itu.

"Matlamat sebenar penubuhan UPNM adalah untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang pertahanan.

"Jadi atas sebab itu, Zahid perlu bertanggungjawab kerana kebanyakkan mereka yang diambil sebagai pensyarah merupakan individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang pertahanan," sambung beliau lagi.

Beliau yang turut mengulangi kenyataannya bahawa tindakannya ini bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran di universiti tetapi demi keperihatinan terhadap masalah yang dihadapi oleh 92 orang pensyarah tersebut.

Tiada ulasan: