PKR akan menganjurkan satu perhimpunan aman duduk bantah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya pada 12 Disember depan bagi mendesak kerajaan BN menyelesaikan masalah rakyat Malaysia yang tidak mendapat hak kewarganegaraan.

"Masalah tidak mendapat hak kewarganegaraan ini melibatkan semua rakyat Malaysia dan menjadi kelaziman di kalangan rakyat Malaysia berketurunan India," demikian menurut satu kenyataan parti itu hari ini.

Menurut kenyataan yang ditandatangani oleh tiga Naib Presiden PKR - N Surendran, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua - sebahagian besar rakyat tanpa warganegara tersebut lahir daripada ibu bapa rakyat Malaysia dan telah menjalani keseluruhan kehidupan mereka di negara ini.

"Berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, mereka merupakan warga yang sah secara perundangan dan berperlembagaan," tambahnya.

Bagaimanapun, mereka mendakwa bahawa kerajaan BN enggan mengeluarkan kad pengenalan biru kepada golongan tersebut dan secara terang-terangan melanggar peruntukan Perlembagaan Malaysia.

Akibatnya, menurut mereka, kalangan rakyat Malaysia yang dinafikan hak-hak dan keistimewaan kewarganegaraan secara tidak sah menurut undang-undang telah mengalami penderitaan yang teramat.

"Warga tanpa negara ini dilucutkan semua faedah-faedah pendidikan, kesihatan dan pekerjaan," tegas mereka.