Jumaat, 30 November 2012

Kerajaan Negeri Sumbang Dana Untuk Pesta Filem Kemanusian




SHAH ALAM 29 NOV : Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak RM 33,215 kepada NGO Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) bagi penganjuran pesta filem hak asasi manusia.

Exco Kebajikan dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Pesta Filem Hak Kemanusian (FFF) yang dianjurkan oleh KOMAS telah mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri semenjak tiga tahun lalu.

Katanya, FFF2012 lalu yang bertemakan ‘Demokrasi: Siapa Bos?’ menayangkan dokumentari mengenai isu hak asasi manusia seperti hak mahasiswa berpolitik, hak tanah Orang Asal, hak beragama dan rampasan kuasa di Sabah dan Perak oleh Umno-BN.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong kebebasan maklumat supaya ianya menjadi suatu ketetapan dan pegangan kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Adun Hulu Kelang Saari Sungib mengenai dasar Kerajaan Negeri terhadap aktiviti NGO dalam penghasilan filem dokumentari hak asasi manusia.
Soalan itu diajukan ketika persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sehubungan itu, sejak 2010 Kerajaan Negeri telah mewujudkan akhbar seperti SelangorKini dan Selangor Times serta saluran media elektronik seperti TvSelangor untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, saluran media alternatif ini juga menghasilkan dokumentari dan filem-filem pendek yang berkaitan dengan isu hak asasi manusia.

Tiada ulasan: