Rabu, 28 November 2012

Keperluan Infrastruktur Sekolah Agama Dinilai Tiap Tahun




SHAH ALAM : Keperluan Sekolah Rendah Agama(SAR) akan dinilai setiap tahun oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memastikan sekolah berkenaan mendapat bantuan yang diperlukan mengikut keutamaan.

Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali berkata, polisi ini diamalkan setiap tahun bukan sahaja terhadap infrastruktur sekolah malah melibatkan dan keperluan tenaga pengajar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan perbahasan Jawatankuasa Belanjawan Jabatan Agama Islam Selangor yang dibangkitkan oleh Adun Skinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim dalam soalannya membangkitkan keadaan usang Sekolah Rendah Agama Parit 7, Skinchan selain mengalami masalah infrastruktur terutama tandas pelajar.

“Saya setuju sekolah yang disebutkan Skinchan merupakan satu keutamaan kerana ia melibatkan kemudahan asas,” ujar Dr Halimah lagi.

Untuk tahun ini, sebanyak RM8 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Selangor untuk pembangunan infrastruktur.

Selain itu, Dr Halimah turut menyatakan sejak tahun 2008, satu Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Selangor (Mafis) yang dianggotai oleh rakyat Islam di Selangor ditubuhkan untuk memikirkan langkah jangka panjang menaikkan prestasi sekolah agama di negeri ini.

Jelasnya, sekolah rendah agama merupkan sekolah yang dibangunkan Kerajaan Negeri termasuk dari segi penyediaan tapak manakala sekolah agama rakyat pula ditanggung sepenuhnya rakyat.

Sehingga kini, Selangor mempunyai 23 sekolah rendah agama, 11 sekolah integrasi agama dan lebih 230 sekolah Kafa.

Tiada ulasan: