Khamis, 29 November 2012

Kempen bebaskan tahanan ISA di Himpunan Kebangkitan Rakyat

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan turut serta dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dijadual diadakan di Stadium Bukit Jalil 12 Januari depan.

“Usaha-usaha begini perlu diberi sokongan. Kami akan lakukan mobilisasi,” kata Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH), hari ini.

Menurutnya, GMI akan meneruskan kempen membebaskan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk membuka pondok maklumat di himpunan tersebut di seluruh negara, bermula di Sri Gading, Johor, Sabtu ini.

“Sekarang GMI mengumpul 10,000 kad menuntut pembebasan tahanan. Kita akan serahkan kepada Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Beliau berkata, pemansuhan ISA yang diumum kerajaan 15 September tahun lalu digantikan dengan undang-undang yang sama mencengkam, iaitu Sosma.

“Walaupun ada perbicaraan, orang yang disyaki akan terus ditahan. Malah tempohnya lebih panjang.
“Rayuan mereka yang ditahan di bawah Sosma akan ditolak selagi ada perbicaraan. Di sini boleh wujud ugutan supaya tahanan mengaku kesalahan. Di bawah Sosma, ada elemen tangkapan secara sewenang-wenangnya (arbitrary).

“Melalui kuasa polis yang hanya berpangkat Superintendan, seseorang boleh ditahan di bawah Sosma selama 28 hari. Berbanding ISA, Menteri yang keluarkan arahan tangkapan,” jelasnya.



Dalam pada itu, beliau memaklumkan penubuhan GMI Tawau selepas NGO itu menziarah lapan keluarga tahanan ISA di daerah tersebut selama tiga hari minggu lalu.

“Fokus lawatan adalah untuk berbincang bersama keluarga tahanan mengenai tindakan perundangan yang boleh diambil,” kata Syed Ibrahim.

“Sebelum ini pihak GMI dimaklumkan ada keluarga tahanan yang diugut polis supaya tak berhubung dengan mana-mana NGO atau peguam.

“Peguam GMI akan mengadakan lawatan ke Kamunting esok bagi mendapatkan maklumat terus dari tahanan.

“GMI mendapati kebanyakan keluarga menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan kerana ketiadaan ketua keluarga,” katanya.

Justeru, GMI melancarkan kutipan dana dengan sasaran RM50,000 untuk membantu keluarga tahanan menampung keperluan mereka termasuk pembiayaan pelajaran anak-anak.

Sumbangan boleh diberikan melalui akaun Maybank atas nama Bendahari GMI, Nashita Md Nor di nombor akaun 1622-0993-9776.

Tiada ulasan: