Khamis, 8 November 2012

'Kafir harbi, zimmi sikap bukan Islam'

'ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim
 
KUALA LUMPUR - Parti dinaungi bukan Islam boleh diklasifikasikan sebagai kafir harbi, sekiranya parti itu secara terbuka menentang dan menolak Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, mana-mana pihak membuat tuduhan kafir harbi mahupun Kafir Zimmi juga boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Sivil di bawah Peruntukan 298(A) Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan rasa tidak senang hati yang boleh menjurus perpecahan.

“Sekiranya bukan Muslim menentang Islam, mengeluarkan kenyataan seperti melabel bahawa syariah Islam itu ekstremisme, menyebut tidak mahu Islam, tidak kiralah nak langkah mayat atau tidak, atau merasakan mempertahankan maruah Islam itu membazir tenaga dan masa, maka jelas orang itu menentang Islam.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun,” katanya ketika menjawab soalan Amran Ab Ghani (PKR -Tanah Merah), semalam.

Amran dalam soalannya meminta penjelasan menteri, adakah berlaku ‘double standard’ kerana tidak mengambil tindakan kepada seorang guru pondok Umno yang melabelkan DAP sebagai kafir Harbi.

Ahli Parlimen PKR itu juga meminta Mashitah menegaskan adakah benar DAP sebagai kafir harbi.

Katanya, istilah itu bukan tuduhan, sebaliknya hanya istilah yang diguna pakai ulama untuk membuat kajian sikap bukan Islam terhadap masyarakat Islam.

“Ia bukan tuduhan, ia istilah atau konsep kafir harbi atau zimmi adalah istilah diguna pakai para ulama untuk membuat kajian sikap atau pembacaan sikap terhadap bukan Islam yang ada untuk bekerjasama dengan mereka.

“Daripada kajian sikap itu, diklasifikasikan sama ada bukan Muslim itu dianggap sebagai (Kafir) harbi atau zimmi," katanya.

Tiada ulasan: