Jumaat, 2 November 2012

Exco: Lembah Sireh mungkin gagal tapi tiada penyelewengan

ROSMIZA KASIM & SAPINAH AB GHANI

Takiyuddin Hassan
Datuk Takiyuddin Hassan
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menafikan wujud penyelewengan dalam projek Pembangunan Lembah Sireh walaupun mengakui pelaksanaannya tidak menepati masa.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun setakat ini projek tersebut dilihat kurang berjaya, namun tidak ada unsur penyelewengan di sebalik pelaksanaannya.

"Projek ini mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi tidak ada penyelewengan, macam mana dikatakan ada penyelewengan sedangkan kita ada jawatankuasa teknikal yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut.

"Pada pandangan kerajaan kita akan bagi penjelasan kepada Ketua Audit Negara, benda ini telus, kalau kata ada penyelewengan itu tidak betul," katanya, semalam.

Takiyuddin berkata, isu tersebut sengaja diperbesarkan pihak- pihak tertentu untuk tujuan yang hanya diketahui pihak terlibat.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, pintu kerajaan sentiasa terbuka untuk mana- mana pihak berkuasa menjalankan siasatan jika terdapat laporan mengenai penyelewengan terhadap projek berkenaan," katanya.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan Negeri bersedia menemui Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi memperjelaskan isu Lembah Sireh berikutan perkara itu dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2011.

Katanya, pihak audit mengesyorkan agar Kerajaan Negeri atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil beberapa langkah termasuk membuat penilaian terhadap sumbangan syarikat yang menjalin kerjasama, di mana penilaian itu berdasarkan nilaian tanah semasa serta kemudahan disediakan.

"Selain itu, setiap projek usaha sama perlu dikaji dengan teliti oleh pakar dan agensi Kerajaan Negeri yang dilantik bagi mengurus dan memantau pelaksanaannya, dan untuk projek di tebing Sungai Kelantan ini kita sudah ada jawatankuasa pemandu sejak dari dulu lagi yang diketuai Timbalan Menteri Besar, selain semua jawatan teknikal berkaitan serta wakil syarikat ada dalam jawatankuasa ini," katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihak audit turut mengesyorkan supaya UPEN mengambil tindakan segera untuk memastikan pihak syarikat menyerahkan bon sebagaimana tercatat dalam perjanjian.

"Memang dalam perjanjian syarikat perlu bagi permance bon yang jumlahnya RM150, 000, syarikat telah buat banyak, pada masa itu kita berpandangan performance bon itu dikontra dengan projek- projek dibuat syarikat, tetapi pihak audit memaklumkan bon itu perlu dimasukkan bersama, dan kerajaan sudah berbincang dengan syarikat serta sudah mencapai persetujuan," katanya.

Menurutnya, selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga perlu meneliti setiap terma dalam perjanjian usaha sama supaya kepentingan rakyat terjamin.

Takiyuddin berkata pembangunan di kawasan itu sedang giat dijalankan di bawah perjanjian dengan pihak pemaju, dan dijangka siap menjelang 2019.

"Sehingga kini hanya lima peratus sahaja pembangunan sudah dilaksanakan di kawasan itu sejak dimulakan pada 2007 yang lalu, dan kita mempunyai masa sehingga 2019, pihak kerajaan yakin seluruh kawasan itu akan dapat dibangunkan nanti," katanya.

Tiada ulasan: