Jumaat, 30 November 2012

BN bantah projek persimpangan bertingkat

 
Peruntukan sebanyak RM31.8 juta kepada pemaju i-City Properties untuk membina projek sepanjang dua kilometer itu tidak memberi manfaat. 

 

Sidang DUN Selangor

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor membantah pembinaan projek persimpangan bertingkat menghubungkan Lebuhraya Persekutuan yang disediakan dalam Bajet Peruntukan Pembangunan Negeri 2013.

Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menyifatkan keputusan kerajaan negeri memberi peruntukan sebanyak RM31.8 juta kepada pemaju i-City Properties Sdn Bhd untuk membina projek sepanjang dua kilometer itu tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

“Peruntukan itu adalah wajar digunakan untuk menyelesaikan masalah banjir atau mengatasi masalah kesesakan jalan di beberapa lebuh raya utama di negeri itu,” katanya dalam sidang media di lobi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu bersetuju bahawa pemaju membiayai persimpangan bertingkat ini.

Tetapi sekarang dalam bajet 2013 ini pemaju diberi keistimewaan dan mendapat peruntukan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Keputusan ini bercanggah dengan dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mengutamakan rakyat, sedangkan banyak permohonan pembangunan tidak diberi peruntukan. Contohnya isu perparitan dan banjir.

“Lebih baik peruntukan itu digunakan untuk menyelesaikan masalah banjir atau mengatasi kesesakan kenderaan di Lebuhraya Persekutuan ke persimpangan NKVE di Bukit Raja…atau lebuhraya Guthrie ke Shah Alam yang sesak pada waktu kemuncak,” katanya.

Projek sepanjang dua kilometer itu akan menghubungkan Lebuh Raya Persekutuan bermula di Plaza Tol Sungai Rasah dengan Kawasan Pembangunan Seksyen 7, Shah Alam.

Menurut Shamsudin, kerajaan negeri tidak prihatin kepada bantahan penduduk di Seksyen 7 ekoran pembinaan projek itu dibuat di kawasan zon penampan (pemisah di antara semua kawasan rekreasi dan hutan simpan).

Beliau turut mempersoalkan mengapa projek berkenaan tidak dilaksanakan di dalam I-City, sebaliknya menceroboh zon penampan tersebut.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pengurus projek akan menyumbang keseluruhan kos pembinaan bersama sembilan syarikat swasta dan pemaju seperti i-City Properties Sdn Bhd (i-City) dan IJM Properties.

Projek ini juga dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013.

Tiada ulasan: