Jumaat, 2 November 2012

Abdul Aziz Akan Tawan Sabak Bernam Untuk Pakatan Rakyat





SHAH ALAM : Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cerah untuk menawan kerusi parlimen Sabak Bernam pada Pilihanraya Umum ke 13 sekiranya ia meletakkan bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari sebagai calon.

Sambil menyatakan sokongan kepada pencalonan Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ahli akademik itu adalah satu calon yang sesuai kerana beliau seorang yang berani dan lantang bersuara dalam menegakkan keadilan.

Jelasnya, Aziz juga menonjolkan kepimpinan yang tinggi selain beliau juga seorang pakar undang-undang perlembagaan.

“Orang Sabak Bernam mesti bangga dengan pencapaian beliau. Sudah tentu orang Sabak Bernam mahu seorang yang berani kerana beliau seorang yang mempunyai kepimpinan yang tinggi, berani dan lantang dalam menyatakan pendirian,”

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan buku ‘Charade of Justice : Anwar’s third trial’ di Quality Hotel, di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan pemilihan calon perlu mengikut tatacara dan keputusan pucuk pimpinan parti.

“Saya perlu nyatakan saya menyokong penamaan beliau untuk bertanding di kerusi itu tetapi ianya perlu dinyatakan oleh presiden parti atau Ketua Umum PKR, terpulang kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Semalam, akhbar Sinar Harian melaporkan, Abdul Aziz akan bertanding di kerusi itu atas arahan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Aziz turut yakin dapat merampas semula kerusi itu memandangkan terdapat beberapa penambahbaikan dilakukukan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Pada 2008, kerusi Sabak Bernam dimenangi oleh calon Umno-BN, Abd Rahman Bakri yang menewaskan Ketua PKR Cabang Sabak Bernam, Dr Badrolamin Baharon.

Tiada ulasan: