Khamis, 25 Oktober 2012

Teknologi membran: Muhyiddin tidak dapat maklumat tepat

 
Teknologi ini lebih praktikal dan menjimatkan berbanding menembuk banjaran Titiwangsa untuk membina terowong bawah tanah dan memusnahkan alam sekitar. 



PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata tidak diberi penjelasan dan maklumat yang tepat mengenai teknologi penapis air membran apabila mendakwa teknologi ini tidak praktikal kerana mahal dan tidak mampu menambah bekalan air.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mungkin tujuh tahun lalu teknologi penapis air membran ini mahal kerana baharu diperkenalkan tetapi sekarang tidak lagi.

“Teknologi ini sangat kompetitf dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah,” jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Selangor telah memanggil perunding daripada Kanada yang telah pun memberikan taklimat terperinci mengenai penggunaan teknologi ini.

“Teknologi ini lebih praktikal dan menjimatkan berbanding menembuk banjaran Titiwangsa untuk membina terowong bawah tanah dan memusnahkan alam sekitar untuk pembinaan empangan di Pahang,” terang beliau.

Katanya, menerusi teknologi ini, negeri Selangor akan mempunyai bekalan air yang mencukupi tanpa perlu membeli air daripada Pahang.

“Kita mampu meningkatkan kapasiti air dengan hanya membina teknologi penapis air membran di loji pembersihan air sedia ada,” tambah beliau.

Menurut Abdul Khalid, penggunaan teknologi penapis air membran ini mampu menambahkan satu juta meter padu air sehari dengan hanya menggunakan 1/3 dari kos pembinaan Langat 2.

“Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ‘hilang’ atau Non Revenue Water (NRW).

“Justeru, teknologi ini mampu menampung tambahan keperluan satu juta meter padu setiap hari,” ujarnya.

Tegas beliau, “sekiranya Timbalan Perdana Menteri tidak faham mengenai teknologi ini, kita sedia memanggil perunding daripada Kanada untuk memberikan taklimat kepada beliau dan pegawai-pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pakar-pakar air di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.”

Pendirian kerajaan negeri

Kerajaan Selangor katanya, mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri tidak menentang Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tidak ada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

“Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna di Selangor dan Lembah Klang menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisen pada harga munasabah,” katanya lagi.

Semalam Muhyiddin berkata, cadangan kerajaan Selangor untuk menggunakan teknologi membran untuk mengatasi masalah kekurangan air adalah tidak praktikal.

“Kos untuk melaksanakan teknologi ini adalah kira-kira RM95 juta untuk setiap loji rawatan dan jika digunakan di kesemua 34 loji maka kos keseluruhan berjumlah RM3 bilion,” katanya selepas melawat tapak loji rawatan air Langat 2 di Hulu Langat.

Tiada ulasan: