Khamis, 11 Oktober 2012

Shahrizat: Saya tak malu Audit dedah isu NFC

SINAR HARIAN

Shahrizat Abdul Jalil
Shahrizat Abdul Jalil
 
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak berasa malu apabila isu berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2010 itu adalah berhubung projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan dan bukannya syarikat National Feedlot Corporation (NFCorp) yang dimiliki suaminya, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail.

Ketua Wanita Umno itu berkata beliau tidak malu apabila membaca laporan audit yang menyatakan NFC tidak menyempurnakan obligasi bagi mencapai sasaran pengeluaran yang ditetapkan kerana ia tidak merujuk kepada syarikat suaminya.

"Saya rasa semua orang keliru dengan NFC dan NFCorp kerana kedua-duanya merupakan dua entiti yang berbeza.

"Laporan tersebut adalah terhadap pusat fidlot dan tidak kepada syarikat NFCorp yang dimiliki oleh suami dan anak saya, dan Ketua Audit Negara tidak akan mengaudit syarikat swasta," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ranjit Singh pada perbicaraan kes saman fitnah terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli.

Shahrizat turut menegaskan beliau tidak tahu secara terperinci berhubung proses bidaan yang dimasuki suaminya untuk menguruskan projek fidlot, dan sehingga ini, beliau tidak tahu butiran penuh projek itu.

Sementara itu, ketika dirujuk kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, yang meminta menteri bertanggungjawab dalam isu NFC meletak jawatan kerana ia boleh memburukkan nama Umno, Shahrizat berkata, beliau tidak berasa dirinya difitnah dengan kenyataan tersebut.

"Beliau (Bung Mokhtar) berkata demikian sebagai seorang ahli politik dan disebabkan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh kedua-dua defendan (Zuraida dan Mohd Rafizi) kepada saya," katanya.

Pada 19 Januari lepas, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau dalam isu NFC.

Beliau menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teladan dan teruk, selain injunksi bagi menghalang defendan terus mengeluarkan kenyataan, sama ada secara lisan atau penerbitan, terhadapnya berhubung NFC atau syarikat bersekutu.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung Isnin ini. - Bernama

Tiada ulasan: