Selasa, 2 Oktober 2012

PKNS nafi gagal sedia rumah mampu milik

Pengurus Besar Othman Omar menegaskan rumah yang dijual mereka masih murah berbanding dengan harga pasaran kini.



SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan timbul yang mengatakan syarikat terbabit gagal menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di negeri ini.

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar menegaskan rumah yang dijual mereka masih murah berbanding dengan harga pasaran kini.

Malah dengan keutungan yang diterima PKNS, syarikat itu jelas Othman komited untuk terus membina rumah mampu milik kepada rakyat.

“PKNS tidak membina rumah mampu milik adalah salah satu perkara yang ditimbulkan kini. Sedangkan banyak projek yang PKNS bina telah pun ditunjukkan. Mungkin sebab hendak pilihan raya…maka perkara ini jadi isu.

“GAPS dan yang lain-lain cuba bangkitkan isu sama dengan pelbagai agenda politik,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan bahawa isu tersebut cuba ditonjolkan kini.

Dalam sidang media itu juga, Othman menjelaskan pembinaan rumah mampu milik ini bergantung kepada berapa banyak keuntungan diterima oleh PKNS.

Katanya, semakin banyak keutungan diterima semakin banyak subsidi diberi untuk membina rumah mampu milik tersebut.

Ujar beliau, sejak 15 tahun lalu PKNS membeli tanah dan bukan sekadar membina rumah semata-mata.
Othman menjelaskan pelbagai infrastruktur turut disediakan PKNS dan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh syarikat lain.

“Banyak projek kita jalankan atas tanggungjawab korporat sosial. PKNS tidak menerima tanah secara percuma daripada kerajaan negeri malah kita bayar mengikut harga pasaran.

“Orang ramai perlu faham, bagaimana kita nak bantu jika keutungan yang kita terima kurang? Sedangkan selama ini semakin banyak kita terima keuntungan semakin banyak kita akan beri subsidi,” kata beliau.

Projek-projek rumah mampu milik bagi tahun 2012, PKNS menyediakan 2,761 unit dengan jumlah subsidi RM134.5 juta di Hulu Langat, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Petaling dan Sepang.

Manakala bagi projek rumah mampu milik yang akan disediakan bagi tahun 2013 sehingga 2018, PNS telah memperuntuk subsidi sebanyak RM948.1 juta dengan pembinaan 9,481 unit rumah.

Rumah tersebut boleh didapati di Hulu Selangor (Antara Gapi, Bernam Jaya), Klang (Bandar Sultan Suleiman, Jln Dato’ Mohd Sidin), Petaling Jaya (Seksyen U10 dan Seksyen U12), Sepang (Taman Sains Selangor 2) dan Kuala Selangor (Kota Puteri).

Melalui tanggungjawab korporat sosial, PKNS turut menjalankan projek penyelenggaran, baik pulih dan fasiliti sejak 2008 hingga 2012 dengan RM12.8 juta.

Manakala untuk tabung kerajaan prihatin merangkumi zakat, dividen dan cukai pula, PKNS telah memperuntuk RM356.98 juta sejak 2008 hingga 2012.

Tiada kaitan 



Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak agar PKNS mengenepikan hutang rumah seperti menyelesaikan hutang Talam Corporation (Talam), Othman berkata perkara itu sama sekali tidak mempunyai kaitan.

Hari ini juga, seramai 350 rakyat Selangor mengadakan bantahan yang menuntut PKNS dan kerajaan negeri melangsaikan hutang rumah mereka sebanyakRM50 juta.

Desakan itu dibuat oleh penduduk sekitar Kelana Jaya dan Shah Alam yang mendakwa PKNS boleh menyelesaikan hutang Talam Corporation (Talam) sebanyak RM390 juta tetapi mengenepikan rakyat miskin seperti mereka.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Petaling Jaya, Dr S Vigneswaran memohon PKNS agar mengarahkan Selangor Industrial Corporation (SIC), membeli hutang rumah mereka daripada pihak bank.

“Kalau dia (Kerajaan Negeri) boleh bayar hutang Talam RM390 juta, kenapa SIC atau PKNS tidak boleh ambil alih hutang kita? Kita rakyat Selangor, Kerajaan Negeri namanya parti Keadilan tetapi kenapa tidak adil di sini,” katanya.

Tiada ulasan: