Ahad, 28 Oktober 2012

PKNS dapat kelulusan Kementerian Kewangan

FREE MALAYSIA TODAY

MB Selangor berkata beliau tidak perlu menjawab isu itu kepada Noh Omar mengenai penjelasan rancangan penggabungan lima aset komersial bernilai RM321 juta. 



TANJUNG KARANG: Tindakan kerajaan negeri menggabungkan lima aset komersial Perbadanan Kemajuan negeri Selangor (PKNS) untuk dipindah milik kepada sebuah anak syarikat milik penuh PKNS telah mendapat persetujuan daripada Perbendaharaan Negara.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Timbalan Pengurus Besar (Korporat) PKNS Datin Paduka Norazlina Zakaria sudah memperjelaskan isu tersebut termasuk kelulusan pihak Kementerian Kewangan.

Justeru itu, katanya, beliau tidak perlu menjawab isu itu kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengenai penjelasan rancangan penggabungan lima aset komersial PKNS bernilai RM321 juta itu.

Abdul Khalid, yang juga Pengerusi PKNS, berkata demikian kepada pemberita pada satu majlis Aidiladha di sini hari ini.

Pada majlis Korban Parlimen Tanjung Karang di sini hari ini, Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mendesak Menteri Besar itu memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

Lima aset PKNS tersebut ialah SACC Mall, Shah Alam, Menara PKNS, Petaling Jaya, Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta Wisma Yakin di Kuala Lumpur.- Bernama

Tiada ulasan: