Khamis, 25 Oktober 2012

Penerbit Tanda Putera terima dana k’jaan RM2.7 juta

 
Kerajaan yakin filem itu tidak akan menimbulkan kontroversi kerana generasi muda sudah matang.

 

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’ Cruz mendedahkan bahawa penerbit filem Tanda Putera, Pesona Pictures menerima dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak RM2.7 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan.

“Pada tahun 2010 Finas menerima dana sebanyak RM2 juta. Dua skrip menerima dana tersebut iaitu Tanda Putera sebanyak RM2.7 juta dan filem Antara Dua Langit sebanyak RM2 juta,” kata D’ Cruz semasa menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kelana Jaya PKR Loh Gwo Burne.

Loh dari PKR menyoal bagaimana Finas boleh membiayai sebuah filem yang membangkitkan isu perkauman di dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Filem kontroversi arahan sutradara Datin Paduka Shuhaimi Baba menimbulkan kegusaran berikutan ura-ura bahawa terdapat babak yang menggambarkan watak ahli parlimen veteran DAP Lim Kit Siang membuang air kecil ke atas bendera Malaysia di pekarangan rumah bekas Menteri Besar Datuk Harun Idris.

Filem tersebut mengisahkan bagaimana Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail menangani krisis 13 Mei meskipun menghadapi penyakit kronik.

Dalam bulan Ogos Kit Siang telah pun menafikan perkara tersebut dengan mengetengahkan saksi yang memberi keterangan sokongan.

“Kementerian yakin dengan kematangan pemikiran generasi muda, filem berunsur sejarah harus dipaparkan dengan cara paling efektif dan realistik.

“Adalah penting untuk kita mengambil iktibar (dari filem tersebut),” kata D’ Cruz bagi mempertahankan filem Tanda Putera.

Dalam soalan tambahan, Loh meminta agar laporan panel kelulusan Finas terhadap Tanda Putera dibentangkan di dewan.

Beliau juga menyoal samada Finas akan memberikan dana untuk filem yang mempamerkan peranan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dan Marina Yusoff kerana sejarah boleh dilihat dari pelbagai sudut.

D’ Cruz menjelaskan bahawa filem Tanda Putera berhasrat menunjukkan tokoh pemimpin yang berusaha menyelesaikan masalah negara meskipun berhadapan dengan masalah kesihatan.

Tiada ulasan: