Khamis, 11 Oktober 2012

Pas: Tak perlu muktamar khas bincang isu Nasha

ARHIZA AHMAD

Khalid Abdul Samad
Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
 
KUALA LUMPUR - Pas tidak berhasrat untuk mengadakan muktamar khas bagi membincangkan kontroversi yang timbul ekoran kenyataan bekas Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, semalam.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad berkata, tiada keperluan untuk membincangkan isu berkenaan kerana ia dilihat bersifat peribadi.

Menurutnya, apa yang diperkatakan oleh Nasharudin bukan mewakli parti itu dan tidak perlu dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

"Ia lebih menjurus kepada pandangan peribadi beliau, sama ada dia dipengaruhi oleh mana-mana pihak kami (Pas) tidak pasti.

"Malah cadangan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin agar Pas mengadakan muktamar khas itu adalah tidak berasas dan lari daripada landasan," katanya.

Sebelum ini pada 2009, Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat menyarankan diadakan muktamar khas bagi menyiasat beberapa pemimpin yang didakwa membuat keputusan yang bertentangan dengan prinsip parti termasuk Nasharudin sendiri.

Khalid berkata, corak politik Nasharudin juga dilihat berbeza seperti mempunyai maksud tertentu kerana ia dilihat seperti memihak kepada parti lawan (Barisan Nasional).

"Ini kerana kita dapat melihat apabila MCA yang lantang mempertikaikan hudud dan negara Islam, Nasharudin dilihat mendiamkan diri, malah beliau lantang bersuara jika ia diperkatakan oleh DAP," katanya.

Berhubung dakwaan Nasharudin yang menyatakan DAP mahu membentuk negara kristian, Khalid berkata, ia tidak mempunyai kaitan dengan Pas kerana ia adalah padangan peribadi Nasharudin.

"Kita sedia maklum bahawa DAP adalah parti pelbagai kaum, malah dasar parti itu, tidak pernah untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian.

"Sekiranya DAP ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap Nasharuddin, ia terpulang kepada parti tersebut," katanya.

Tiada ulasan: