Selasa, 2 Oktober 2012

Pakatan desak SSM siasat lima syarikat gergasi gagal kemuka laporan audit

  Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (Pakatan) mendesak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melakukan siasatan secara menyeluruh ke atas kelima-lima syarikat gergasi yang didapati gagal menyerahkan dokumen laporan audit tahunan sekaligus melanggar Akta Syarikat 1965.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa kelima-lima syarikat itu di mana jawatan pengarah syarikat dan pemegang saham disandang pemimpin Umno sehingga kini masih belum disiasat SSM.

Beliau turut mengedarkan senarai butiran lengkap beserta bukti salinan dokumen syarikat yang dimuat turun di dalam laman web SSM tersebut.

"Pakatan tidak mempunyai masalah dengan pihak berkuasa untuk pergi (menyiasat) syarikat-syarikat yang telah melanggar undang-undang tetapi dalam kes seperti ini, saya berharap pihak berkuasa siasat tanpa prejudis syarikat seperti YGP Holdings Sdn Bhd gagal kemukakan laporan audit penuh (Khairy) dan (Rahman Dahlan) manakala pemegang saham (Zahid Hamidi).

"Selain itu, National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (31 Dis 2007) dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (31 Dis 2009), Real Food Company Sdn Bhd dan National Meat and Livestok Company Sdn Bhd (30 Jun 2007) dimiliki (Shahrizat Jalil), ini (dokumen) fakta.. bukan spekulasi.. saya berharap SSM mengambil tindakan segera," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini, Pejabat Peguam Negara mengarahkan SSM untuk menyiasat lebih lanjut akaun dan kesalahan lain yang berkaitan mengikut Akta Syarikat 1965, yang didakwa dilakukan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Initiatif Sdn Bhd.

Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan bahawa kertas siasatan (IP) yang dikemukakan SSM tidak lengkap untuk Pejabat Peguam Negara merangka pertuduhan.

"Siasatan tidak lengkap dan IP dikembalikan kepada SSM semalam," kata Tun Majid ketika ditanya berhubung laporan media bahawa pertuduhan terhadap Suaram dan syarikat itu dijangka dibawa ke mahkamah, sama ada hari ini atau esok.

Sementara itu, seorang pegawai Bank Negara mengesahkan bahawa siasatan ke atas akaun dan "jejak wang" Suaram dan syarikat itu masih berjalan.

Individu itu berkata pihaknya masih mencari "sumber dana itu dan jejak wang dan transaksi lain yang disyaki".

Katanya, Bank Negara Malaysia turut bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi mengelak kemungkinan berlaku pertindihan siasatan sebelum mengemukakan IP mereka sendiri kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa SSM dalam siasatannya mengesan pelanggaran serius sekurang-kurangnya lima seksyen dalam Akta Syarikat oleh Suaram dan syarikat itu.

Menteri itu mahu siasatan dibuat bagi menentukan sama ada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Amerika yang didakwa menyalur dana Suaram berkaitan dengan penyangak mata wang George Soros.

Ismail Sabri meminta Bank Negara untuk menyiasat perkara itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Kementerian Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan untuk menentukan status Suaram.

Tiada ulasan: