Sabtu, 20 Oktober 2012

Mangsa runtuhan: Saya hanya fikir maut

SINAR HARIAN

Bumbung banglo dalam pembinaan runtuh di Skesyen 7 Shah Alam. - Foto Bernama
Bumbung banglo dalam pembinaan runtuh di Skesyen 7 Shah Alam. - Foto Bernama
 
KLANG - "Saya hanya fikir maut dan isteri serta anak ketika terperangkap dalam runtuhan itu," kata seorang daripada mangsa runtuhan bumbung konkrit sebuah rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam semalam.

Dia yang terperangkap kira-kira 20 minit dalam runtuhan itu berkata kakinya tidak dapat bergerak kerana dihempap kepingan konkrit dan kayu menyebabkannya panik dan hampir putus harapan untuk diselamatkan.

Mangsa yang dikenali sebagai Waras, 40, patah kaki kiri dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.20 petang itu.

Dia hanya mampu menangis dan memikirkan mati ketika terperangkap sebelum diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat, katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Afifin, 27, berkata dia trauma untuk meneruskan kerja sebagai buruh binaan di negara ini walaupun telah melakukan tugas itu sejak dua tahun lepas.
 
"Ini merupakan kemalangan pertama sejak bekerja sebagai buruh binaan dan sungguh tidak sangka selepas hampir sebulan bekerja di banglo itu, semalam satu kejadian yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat menimpa  kami," katanya.

Menceritakan detik-detik kejadian itu, Afifin berkata dia mengambil masa hampir sepuluh minit untuk merangkak keluar daripada sisa runtuhan konkrit sebelum ditarik keluar oleh anggota bomba dalam operasi menyelamat  berkenaan.

"Saya tidak ingat apa-apa waktu kejadian, bila runtuhan berlaku keadaan gelap namun saya boleh dengar suara rakan-rakan yang menjerit meminta tolong," katanya.

Dia yang mengalami kecederaan di punggung akibat dihempap sebahagian runtuhan konkrit bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata kaki kanan seorang daripada mangsa yang putus dalam kejadian itu ditemui di bawah runtuhan konkrit ketika operasi  pembersihan yang dijalankan kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Beliau berkata bahagian kaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

"Kita temui bahagian kaki berkenaan di celah runtuhan itu selepas kren berjaya mengangkat kepingan konkrit berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Othman berkata punca kejadian itu masih dalam siasatan. - Bernama

Tiada ulasan: