Khamis, 11 Oktober 2012

Khalid: Desakan pecat Faekah bukan 'perkara utama'

Nizam Zain

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, desakan supaya Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dipecat kerana mempertikaikan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali baru-baru ini, bukan "perkara utama."

Menyifatkan ia perkara yang boleh ditangani secara dalaman, Khalid menambah, tumpuan sepenuhnya harus diberikan dalam usaha menawan Putrajaya bersama komponen Pakatan Rakyat yang lain.

“Bagi saya perkara ini (menawan Putrajaya) merupakan perkara yang utama, saya rasa rakyat berpandangan lebih kurang begitu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Bangunan SUK Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyerahkan hal ini kepada parti untuk mengadakan perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi PKR.

“Saya percaya (Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, dan rakan-rakan kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat akan berbincang banyak perkara, tetapi perkara yang penting sahaja,” ulasnya lagi.

Isnin lalu, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah mendesak supaya Faekah meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengeruhkan hubungan dalam PR.

Borhan juga menggesa Khalid mengambil tindakan sewajarnya ke atas Faekah yang mengeluarkan komen tidak wajar terhadap kenyataan Azmin berhubung kedudukan Khalid sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya kelak.

Difahamkan mesyuarat Biro Politik PKR malam ini mungkin membincangkan kedudukan Faekah dalam pejabat Menteri Besar Selangor atas permintaan beberapa pimpinan PKR Selangor ekoran kenyataannya terhadap Azmin, yang juga Pengerusi PKR Selangor.

Faekah sebelum ini mempersoalkan bidang kuasa Azmin untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Khalid akan meninggalkan Selangor dan menjawat jawatan menteri sekiranya PR mengambil alih Putrajaya.

Tiada ulasan: